Anda di sini

KPT lancar Pelan Induk Pendidikan Islam Sepanjang Hayat 2017-2025

Advertisement

NILAI: Dalam usaha memperkasa sistem pendidikan tahfiz dan pondok melalui integrasi Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) serta keusahawanan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) semalam, melancarkan Pelan Induk Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (P/SH) 2017-2025.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata P/SH yang diperkenalkan itu juga bermatlamat membuka peluang lebih luas kepada masyarakat untuk mendalami ilmu agama melalui program yang ditawarkan institusi pengajian tinggi (IPT).

“P/SH yang dilancarkan hari ini adalah bagi menambah nilai dan memantapkan bidang pendidikan Islam secara berterusan sehingga ke peringkat global dan selari juga dengan kepesatan arus teknologi Revolusi Industri 4.0.

“Matlamatnya adalah bagi membolehkan program yang dilaksanakan di bawah inisiatif P/SH ini dapat diperkemas bagi melihat lebih banyak institusi tahfiz terlibat dengan tahfiz TVET, memperkemas kualiti program P/SH termasuk jalinan kerjasama di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan antarabangsa mengenai Pendidikan Islam Sepanjang Hayat 2017 dan pelancaran P/SH, di USIM di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Musa Ahmad dan Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Quran Malaysia Manolito Mohd Dahlan. 

Mengulas lanjut, Idris berkata bagi merealisasikan aspirasi P/SH, empat teras strategik telah digariskan dalam pelaksanaannya iaitu Peningkatan Kualiti; Peluasan Akses; Pemapanan Ekosistem dan Pengantarabangsaan.

Tambahnya, sebelum ini, di bawah inisiatif pendidikan Islam sepanjang hayat, telah diadakan pelbagai program sejak 2015.

“Pada 2015, kami menerima 20,837 peserta daripada 751 program yang dijalankan diikuti pada tahun 2016 seramai 20,947 melibatkan 519 program dan tahun ini sehingga Oktober, seramai 29,140 jumlah peserta yang kami terima melibatkan 1,038 program.

“Berdasarkan statistik ini, jumlah peserta merekodkan peningkatan dari tahun ke tahun dan diharap melalui kewujudan P/SH ini, ia akan melonjakkan lagi jumlah program dan penyertaan,” katanya.

Sementara itu, Manolito berkata P/SH merupakan kesinambungan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara, yang ia memberi persekitaran dan tambah nilai dalam sistem pendidikan tahfiz iaitu para pelajar tahfiz bukan hanya menghafaz al-Quran dan mendalami ilmu agama, tetapi turut diberi suntikan dalam bidang kemahiran dan keusahawanan.

“Bermula 2014, kami jalinkan kerjasama dengan Kolej Komuniti dalam program Tahfiz Kemahiran atau Tahfiz TVET iaitu dalam bidang pendawaian, pastri, penghasilan air mineral, pembuatan mee siput, jahitan dan sebagainya.

“Para pelajar tahfiz yang mengikuti program kemahiran ini kelak, akan mendapat sijil bagi membolehkan mereka menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi…Ini laluan kepada pelajar maahad tahfiz yang satu masa dahulu difikirkan tiada masa hadapan sebaliknya membolehkan mereka berada dalam arus perdana,” katanya. — Bernama

Advertisement