Anda di sini

Pemilik pasar raya dibunuh dalam kejadian samun

Advertisement
 Anggota Polis mengangkat mayat seorang pemilik pasar raya yang ditemui mati dengan tangan dan kakinya terikat di premisnya dalam kejadian samun di Pusat Perdagangan Jelapang 2 di Ipoh, semalam. — Gambar Bernama
DALAM SIASATAN: Anggota Polis mengangkat mayat seorang pemilik pasar raya yang ditemui mati dengan tangan dan kakinya terikat di premisnya dalam kejadian samun di Pusat Perdagangan Jelapang 2 di Ipoh, semalam. — Gambar Bernama

IPOH: Seorang pemilik pasar raya ditemukan mati dipercayai dibunuh oleh sekumpulan penyamun sebelum melarikan sejumlah wang tunai kira-kira RM80,000 di tingkat atas sebuah pasar raya di Pusat Perdagangan Jelapang, di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Sem Ah Yem, 69, ditemui dalam keadaan tangan dan kaki diikat serta kesan kecederaan parah di kepala akibat dipercayai dipukul dengan objek tumpul oleh anak lelakinya berusia 20-an yang datang untuk membuka premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Mohd Ali Tamby berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada anak mangsa pada jam 8 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa, yang tinggal di premis itu sejak tujuh tahun lepas, ditemui di lantai bilik tidurnya di tingkat atas pasar raya itu dalam keadaan tangan dan kaki diikat selain mempunyai dua kesan kecederaan di kepala.

“Polis turut menemui sebatang besi berukuran satu meter yang mempunyai kesan darah dipercayai digunakan untuk memukul mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menurut Mohd Ali, hasil siasatan mendapati sekumpulan penyamun memasuki pasar raya itu dengan memanjat bahagian belakang pasar raya sebelum memotong bumbung menggunakan alat pemotong dan turun ke tingkat atas dengan menggunakan tali.

“Selain membunuh mangsa, suspek juga telah melarikan sejumlah wang tunai anggaran RM70,000 hingga RM80,000 yang disimpan dalam peti besi di dalam pejabat di tingkat bawah pasar raya yang juga menempatkan bilik kamera litar tertutup (CCTV).

 “Terdapat kira-kira 30 CCTV tetapi ia hanya menayang gambar sahaja dan tidak merakam.

Bagaimanapun, terdapat CCTV berhampiran pasar raya berkenaan dan kita akan melihat semula,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan Katanya, anak lelaki mangsa serta 15 pekerjanya hanya berada di pasar raya pada waktu operasi iaitu daripada jam 9 pagi hingga 10 malam.

Katanya, mangsa juga memiliki lapan lagi lot kedai di bangunan yang sama.

Sementara itu, penyelia kedai, Muhamad Husaini Abdullah Mutalib, 38, yang telah bekerja selama 22 tahun di pasar raya itu, berkata beliau tiba pada jam 7.45 pagi dan mengetahui kejadian yang menimpa majikannya itu menerusi anak lelaki mangsa.

“Tauke, dia baik dan senang bertolak ansur. Kali terakhir jumpa tauke Ahad jam 10 malam masa tutup pasar raya.

Semalam (kelmarin) tak jumpa tauke sebab saya cuti. Sebelum ini ada beritahu bahaya tinggal dalam pasar raya takut kalau penyamun tetapi tauke cakap kalau tidak duduk sini tiada siapa mahu menjaga kedai,” katanya.

Mangsa dipercayai tinggal berasingan dengan keluarganya dan tidur berseorangan di salah sebuah bilik di tingkat atas pasar raya berkenaan. — Bernama

Advertisement