Anda di sini

MAB, AirAsia batal penerbangan pergi dan keluar dari Bali

Advertisement

Penumpang telah dimaklumkan melalui SMS dan laman sosial

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd (MAB) semalam membatalkan semua penerbangannya ke Denpasar-Bali dari sini selepas gunung berapi Agung di Bali meletus pada Sabtu lepas.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan semalam berkata, penumpang telah dimaklumkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS)  petang kelmarin dan nasihat perjalanan telah pun diposkan di laman web, Facebook dan Twitter syarikat itu.

Kami sedang memantau dengan rapat situasi tersebut dan akan menyesuaikan operasi penerbangan kami ke dan keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai apabila perlu.

Berikutan situasi ini, kami akan membenarkan pelanggan yang terjejas: mendapat pembayaran balik sepenuhnya atau menangguhkan perjalanan sehingga akhir Februari 2018; dan, menukar destinasi  (bergantung kepada kekosongan tempat duduk) ke Jakarta, Surabaya atau mana-mana destinasi ASEAN yang Malaysia Airlines menawarkan khidmat penerbangan,” kata MAB.

Untuk maklumat lebih lanjut, para penumpang diminta menghubungi syarikat penerbangan itu di talian 1 300 88 3000 (di Malaysia) atau +603 7843 4000 (luar dari Malaysia).

Sementara itu, AirAsia mengumumkan Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali ditutup sementara semalam selepas letusan gunung berapi tersebut.

Akibat penutupan sementara lapangan terbang itu, semua penerbangan AirAsia dan AirAsia X ke dan keluar dari Bali telah dibatalkan. Selain itu, penerbangan dari dan ke Lombok  kekal dibatalkan hari ini (semalam),” kata syarikat penerbangan itu.

Maklumat lebih lanjut akan dikeluarkan apabila diperoleh kelak dan penumpang akan dimaklumkan mengenai status penerbangan mereka menerusi emel dan SMS, kata AirAsia.

Syarikat itu juga menggalakkan penumpangnya mengemas kini butiran hubungan mereka di  laman web airasia.com untuk memastikan mereka dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan terkini mengenai penerbangan mereka.

Penumpang yang penerbangan mereka dibatalkan boleh memilih mana-mana pilihan pemulihan perkhidmatan berikut: menukarkan penerbangan mereka ke satu tempoh perjalanan baharu di laluan yang sama dalam masa 30 hari daripada tarikh penerbangan asal tanpa tambahan kos dan tertakluk kepada kekosongan tempat duduk atau menerusi Credit Account,  yang akan mengekalkan nilai tambang dalam akaun kredit bagi perjalanan akan datang dengan AirAsia,” kata syarikat penerbangan itu.

Credit Account dalam talian boleh ditebus dalam masa 90 hari daripada tarikh dikeluarkan. 

Para penumpang dinasihati melayari laman web www.airasia.com dan laman media sosial AirAsia bagi mendapatkan pengumuman selanjutnya. Mereka juga digalakkan untuk  memeriksa status penerbangan mereka menerusi bahagian ‘Manage My Booking’ di laman web AirAsia,” kata syarikat penerbangan itu.

Selain itu, para penumpang juga boleh mendapatkan maklumat lanjut dan bantuan dengan menghubungi pasukan sokongan pelanggan di https://support.airasia.com. — Bernama

Advertisement