Anda di sini

Audit: Perancangan baik dalam pelaksanaan program

Advertisement

Terdapat juga beberapa kelemahan, perlu pemeriksaan menyeluruh

KUALA LUMPUR: Kementerian, jabatan dan agensi kerajaan didapati mempunyai perancangan yang baik dalam melaksanakan program, aktiviti dan projek meskipun terdapat beberapa kelemahan yang perlu ditangani segera.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2016 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, kelemahan itu perlu ditangani bagi memastikan sesuatu program, aktiviti dan projek dapat dilaksanakan dengan cekap, ekonomi dan mencapai objektif yang ditetapkan.

Justeru, laporan itu mencadangkan ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan yang berkenaan supaya menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi menentukan sama ada program/aktiviti/projek lain mempunyai kelemahan sama memandangkan pengauditan yang dijalankan Jabatan Audit Negara adalah berdasarkan persampelan dan skop tertentu.

Ia perlu dilakukan sebelum mengambil tindakan pembetulan dan penambahbaikan,” menurut laporan mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan/Kerajaan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan Siri 2 di bahagian penutup yang terkandung dalam Laporan Audit itu.

Sebanyak 240 syor dikemukakan dalam LKAN 2016 Siri 2 bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil di peringkat persekutuan dan negeri.

Daripada jumlah itu, sebanyak 74 syor dikemukakan terhadap aktiviti kementerian/jabatan dan badan-badan berkanun persekutuan, 36 syor (pengurusan syarikat kerajaan dan agensi kerajaan persekutuan) serta 130 syor bagi pengurusan aktiviti kementerian/jabatan/agensi dan pengurusan syarikat kerajaan negeri.

Pengauditan yang dijalankan mendapati kelemahan dalam pelaksanaan program/aktiviti/projek antaranya akibat daripada kurang pemantauan dan penyeliaan oleh pihak dipertanggungjawabkan, kurang kepakaran teknikal dan bergantung sepenuhnya kepada perunding/kontraktor serta ketiadaan penyelarasan antara agensi yang terlibat.

Laporan itu turut menyebut kajian terperinci perlu dijalankan terlebih dahulu terhadap sesuatu projek kerajaan sebelum ia diluluskan untuk pelaksanaan.

Bagi tujuan itu, selaras dengan Arahan Perbendaharaan 182.1, jabatan/agensi perlu mengemukakan maklumat lengkap seperti kedudukan status tapak projek, ringkasan projek, siling projek, peruntukan tahunan dan jadual pelaksanaan projek kepada jabatan teknikal,” menurut laporan itu.

LKAN 2016 Siri 2 itu turut mengesyorkan ketua perkhidmatan/pegawai pengawal/ketua jabatan untuk menubuhkan Jawatankuasa Siasatan terhadap isu-isu yang mempunyai unsur penyelewengan, pembaziran dan pemborosan.

Tindakan yang tegas seperti mengenakan tindakan tatatertib atau surcaj perlu diambil terhadap pegawai yang cuai/gagal melaksanakan tanggung jawabnya tanpa sebab-sebab munasabah sehingga kerajaan menanggung kerugian,” menurut laporan itu.

Sementara itu, Ketua Audit Negara ,Tan Sri Dr Madinah Mohamad menerusi kata pendahuluan dalam Aktiviti Kementerian/Jabatan/Kerajaan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan Siri 2 dalam laporan audit itu, berkata secara umumnya aktiviti kerajaan telah dilaksanakan mengikut objektif ditetapkan, meskipun terdapat kelemahan.

Bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil oleh ketua setiausaha kementerian/ketua jabatan/ketua pengarah berkenaan, saya telah mengemukakan 74 syor untuk memperbaiki kelemahan yang telah dikenal pasti,” katanya. — Bernama

Advertisement