Anda di sini

Wanita didenda atau penjara kerana miliki tiket loteri haram

Advertisement

MIRI: Seorang wanita didenda RM2,500 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan memiliki tiket-tiket loteri haram.

Melissa Puyang Jalong, 27, dari Baram telah didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati ada memiliki sekeping kertas catatan pertaruhan angka loteri awam haram yang berangka 10,000 sebagai loteri haram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.30 petang, 11 November lalu di sebuah premis di Jalan Kuching Taman Tunku di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh yang tidak diwakili merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan dia merupakan ibu tunggal kepada tiga orang anak.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Advertisement