Anda di sini

Bantu Rohingya: Delegasi ahli Parlimen Malaysia tiba di Chittagong

Advertisement

CHITTAGONG (Bangladesh): Rombongan 13 ahli Parlimen Malaysia yang dalam misi bantuan kemanusiaan untuk pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, tiba di Chittagong semalam.

Sejurus tiba di  Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat Chittagong di sini pada kira-kira jam 10.35 pagi waktu tempatan, mereka meneruskan perjalanan dengan menaiki bas untuk ke bandar Cox’s Bazar, kira-kira 143km dari sini dan dijangka mengambil masa lima jam.

Rombongan yang diketuai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Ronald Kiandee itu disertai Ahli Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang antaranya Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab. Aziz Kaprawi, Datuk Ago Anak Dagang (BN-Kanowit), Datuk Raimi Unggi (BN-Tenom), Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) dan Datuk Kamarudin Jaffar (PKR-Tumpat).

Turut menyertai misi tersebut ialah wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan dan Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Misi dua hari itu bertujuan menghantar sebanyak 25 tan makanan kepada badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia antaranya Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) yang berada di negara ini untuk diagihkan kepada pelarian Rohingya di Kem Pelarian Kutupalong, kira-kira 35km dari sini.

Di samping itu, anggota rombongan berkenaan juga dijangka meninjau perkembangan terkini Hospital medan tajaan Malaysia yang sedang dibina berhampiran kem pelarian berkenaan.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Hospital Medan berkenaan boleh menempatkan sehingga 150 pesakit pada satu masa selain dilengkapi bilik pembedahan, X-ray serta bilik khas bagi kemudahan ibu dan anak yang dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya 1 Dis ini.

Hospital Medan itu akan dikelola sepenuhnya Kementerian Kesihatan Malaysia dengan seramai 140 petugas  Pasukan Perubatan Malaysia termasuk doktor pakar akan ditempatkan di hospital itu. — Bernama

Advertisement