Anda di sini

Pemuda UMNO Perak buat laporan polis terhadap ADUN DAP

Advertisement
 Khairul Shahril (tengah) ketika sidang media selepas membuat laporan polis dan menyerahkan bukti mengenai kata-kata kesat yang dilemparkan Nga terhadap Menteri Besar Perak di Ipoh, semalam. — Gambar Bernama
LAPOR POLIS: Khairul Shahril (tengah) ketika sidang media selepas membuat laporan polis dan menyerahkan bukti mengenai kata-kata kesat yang dilemparkan Nga terhadap Menteri Besar Perak di Ipoh, semalam. — Gambar Bernama

IPOH: Pemuda UMNO Perak semalam membuat laporan polis terhadap Nga Kor Ming yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam ceramahnya di Kampung Simee, minggu lepas.

Ketuanya Khairul Shahril Mohamed berkata, pihaknya turut menyerahkan satu USB mengandungi klip video rakaman ceramah Pengerusi DAP Perak itu  yang diperoleh daripada portal Taiping kiniTV.

Kami menyangkal dan mengambil serius terhadap tuduhan Nga yang mendakwa Pemuda UMNO Perak membuat laporan polis dengan mengemukakan video palsu yang disunting dan dia tidak mengaku mengeluarkan perkataan kesat terhadap menteri besar,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam di sini.

Kelmarin, Nga yang juga Ahli Parlimen Taiping membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini meminta pihak berkuasa menyiasat kebenaran tuduhan beliau mengeluarkan kata-kata kesat berbaur perkauman terhadap Zambry.

Malah, Nga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang mendakwa rakaman video berkenaan telah disunting dan diubah suai bagi menimbulkan ketegangan kaum.

Sebelum ini, tujuh badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis supaya tindakan tegas diambil terhadap Nga atas dakwaan sama.

Dalam pada itu, Khairul Shahril berkata pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Nga yang disifatkan bermain politik murahan.

Oleh itu, kami meminta polis menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya di bawah peruntukan undang-undang sedia ada kerana perbuatan menghasut dan menghina institusi menteri besar adalah perkara yang serius dan tidak boleh diterima,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri Mohamad Adli Mohd Tahiruddin berkata tindakan Nga mencerminkan pemimpin pembangkang tersebut sudah ketandusan isu dan seterusnya membuktikan ideologi ‘Malaysian Malaysia’ adalah untuk golongan DAP sahaja.

Politik yang dibawa pembangkang hanya berlandaskan politik kebencian berbanding BN khususnya menteri besar yang sentiasa membawa po-litik pembangunan di setiap pentas ceramah.

Oleh yang demikian, Pe-muda BN Perak mendesak Nga untuk memohon maaf kepada Zambry serta seluruh rakyat di negara ini. Kami juga ingin menasihati Nga agar menghentikan politik kebencian yang tidak mempunyai tempat di sebuah negara berbilang kaum,” katanya. — Bernama

Advertisement