Anda di sini

LFA akan adakan mesyuarat tergempar cari pengganti Alidin

Advertisement

LIMBANG:Persatuan Bolasepak Limbang (LFA) akan mengadakan mesyuarat tergempar tidak lama lagi untuk melantik pemangku timbalan presiden persatuan bagi meneruskan agenda pembangunan bola sepak tempatan termasuk penganjuran Liga Super dan Premier akan datang.

 Presidennya yang juga Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail berkata pelantikan jawatan pemangku timbalan presiden LFA dilakukan selepas Timbalan Presiden LFA Allahyarham Alidin@ Brahim Tawar meninggal dunia 11 November lepas akibat serangan jantung.

 “Pelantikan pemangku timbalan presiden LFA akan dibuat mengikut apa yang diputuskan dalam mesyuarat itu nanti,”katanya ketika ditanya media mengenai pelantikan timbalan presiden LFA semalam.

 Dr Abdul Rahman berkata LFA akan meneruskan perancangan untuk terus memartabatkan bola sepak di bahagian Limbang.

 “Mesyuarat ini penting supaya perancangan mengadakan liga-liga sebelum ini dapat diteruskan termasuk Piala Belia Limbang Bawah 19 Tahun Disember ini,” katanya.

 Beliau turut merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Alidin atas pemergian beliau yang banyak memberi sumbangan besar terhadap pembangunan bola sepak di Limbang.

 “Kita masih merasai kehilangan beliau yang merupakan peneraju utama kebangkitan bola sepak bahagian Limbang sehingga sekarang.

 “Malah Limbang kini antara pasukan disegani di Sarawak dan dalam Piala Sarawak di Mukah baru-baru ini Limbang dapat memasuki separuh akhir pertandingan,” katanya sambil berharap keluarga Allahyarham akan terus bersabar dan tabah.

 Katanya untuk mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham, LFA akan menyediakan sebuah piala,iaitu piala Alidin Tawar untuk rebutan pada Liga Belia nanti.

 Sementara itu Bendahari LFA Frederick Lalung yang turut berada di samping Allahyarham pada saat-saat beliau menghembuskan nafas terakhir turut melahirkan perasaan sedih dan terkejut.

 “Sebelum pemergiaan Allahyarham, kami bersama minum kopi sambil berbincang dan merancang perjalanan ke Mukah selain menyelitkan nasihat dan pesanan,” katanya.

 Jelas Frederick beliau sempat melawat Allahyarham dan memberi kata semangat ketika Allahyarham dihantar ke hospital.

 Beliau turut menyiftkan Allahyarham sebagai seorang yang sangat baik hati, peramah, jujur, periang dan menyayangi orang lain selain merupakan legenda pembangunan bola sepak di daerah ini.

Advertisement