Anda di sini

Tarik minat golongan muda urus jenazah

Advertisement

Kumpulan urus jenazah yang kebanyakannya warga emas digesa tarik golongan pelapis

 Abu Seman (duduk, empat kiri) bersama peserta Kursus Fardu Kifayah Pengurusan Jenazah di Sibu kelmarin.
KURSUS: Abu Seman (duduk, empat kiri) bersama peserta Kursus Fardu Kifayah Pengurusan Jenazah di Sibu kelmarin.

SIBU: Kumpulan menguruskan jenazah masyarakat Islam di kampung-kampung di negeri ini yang kebanyakannya dianggotai warga emas digesa berusaha menarik lebih ramai golongan muda sebagai pelapis.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jahwi berkata golongan muda perlu dilatih mulai dari sekarang meneruskan kerja-kerja mulia itu sekiranya mereka (pengurus jenazah sedia ada) tidak ada kemampuan kerana faktor usia dan kesihatan.

Menurutnya, langkah itu penting memastikan kampung-kampung di negeri ini tidak ketandusan kumpulan-kumpulan menguruskan jenazah kerana ia tuntutan fardu kifayah dalam agama Islam.

Beliau berkata, jika sesebuah kampung itu tidak ada orang yang boleh menguruskan jenazah maka terpaksa meminta bantuan kumpulan dari kampung-kampung berhampiran dan ini sudah tentu menimbulkan masalah.

Kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku dalam kalangan masyarakat Islam kerana secara langsung boleh menjejaskan imej Islam itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Kursus Fardu Kifayah Pengurusan Jenazah anjuran bersama Persatuan Quraa’ Bahagian Sibu dan Jawatankuasa Masjid Darul Babussalam, Kampung Jariah di sini kelmarin dan dihadiri lebih 50 peserta.

Abu Seman berkata, pada masa sama mereka juga perlu berusaha meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan pengurusan jenazah yang betul mengikut syariat-syariat Islam.

Beliau meminta kumpulan-kumpulan menguruskan jenazah di kampung-kampung yang kebanyakannya bergerak secara sendirian, menubuhkan persatuan bagi keperluan serta kebajikan mereka.

Katanya, ini kerana kumpulan itu memain peranan sangat penting dalam masyarakat Islam apabila berlaku kematian di kampung masing-masing.

Menurutnya, walaupun pengurusan jenazah melibatkan kerja-kerja memandi, menyembahyang serta mengkebumikan jenazah dilakukan secara sukarela tetapi mereka bernaung di bawah satu landasan.

Walaupun kerja-kerja mengurus jenazah dilakukan secara sukarela dan bukan berasaskan keuntungan oleh kumpulan-kumpulan kecil masyarakat Islam di kampung-kampung, ia sangat penting bergerak melalui persatuan.

Banyak kerja kemasyarakatan lain bukan berasaskan keuntungan diuruskan melalui persatuan-persatuan.

Oleh itu, saya rasa kumpulan mengurus jenazah juga perlu menubuhkan persatuan mereka.

Saya rasa banyak kumpulan menguruskan jenazah masyarakat Islam di kampung-kampung belum menubuhkan persatuan malah masih bergerak secara sendirian,” katanya.

Abu Seman berkata, hanya melalui persatuan mereka dapat menyuarakan segala keperluan, masalah serta kebajikan kepada kerajaan.

  • oleh
  • Advertisement