Anda di sini

Mayat dipercayai budak hilang ditemui atas bukit

Advertisement

SIMUNJAN: Mayat seorang kanak-kanak dipercayai Desmond Davei ditemui di atas Bukit Ruan Simunjan dekat sini malam tadi selepas dilaporkan hilang sejak 6 November lalu.

Mayat yang sudah mula reput itu ditemui seorang penduduk kampung sekitar jam 7 malam, ketika hendak turun memburu kira-kira lima kilometer dari rumah mangsa.

Penemuan itu terus dimaklumkan kepada ahli keluarga mangsa untuk mengenal pasti mayat dan pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Zamzuri Mohamad mengesahkan penemuan mayat itu ketika dihubungi semalam.

Kita telah menerima laporan penemuan itu daripada bapa mangsa, Davei John pada jam 7 malam.

Dia (Davei) memaklumkan seorang penduduk kampung bernama Jimba Tulis telah menemui mayat seorang kanak-kanak di atas Bukit Ruan Simunjan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat mayat tersebut pada 2 petang ini di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Misteri kehilangan kanak-kanak berusia dua tahun di Kampung Ruan Baru Simunjan sejak dua minggu lalu mungkin terungkai dengan penemuan petunjuk terbaharu ini.

Malah menurut sumber, baju yang digunakan Desmond ketika dilapor hilang adalah sama dan telah disahkan oleh ahli keluarganya.

Advertisement