Anda di sini

Pelajar disaran melanjutkan pengajian di kolej perubatan dalam negara

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pelajar di negara ini yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan boleh memilih untuk mengikuti pengajian di 33 kolej perubatan yang diiktiraf di seluruh negara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.  

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya (gambar) berkata dengan pilihan yang pelbagai, institusi tempatan sewajarnya menjadi pilihan pelajar selain dapat mengelak masalah untuk mendapatkan pekerjaan yang sering dialami graduan yang belajar di luar negara berikutan sistem pembelajaran yang berbeza.

“Di Malaysia, pelajar diberi peluang memeriksa pesakit dalam wad, berbeza di luar negara. (Di luar negara) ada antara pelajar yang tak berpeluang untuk memeriksa pesakit… sebaliknya tenaga pengajar yang akan buat demonstrasi… jadi pelajar ni bila balik, tak ada pengalaman.

“Ada sesetengah tempat lain (kolej perubatan luar negara), pelajar akan menghadapi masalah terminalogi yang mana mereka belajar dalam bahasa tempatan di sana dan bila balik di sini, kita gunakan bahasa Inggeris,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noor Azmi (BN-Bagan Serai) berhubung isu lambakan graduan perubatan.

Bagaimanapun, Dr Hilmi berkata kerajaan tidak dapat menghalang pelajar untuk menjalani latihan di luar negara, namun mengingatkan mereka untuk memilih institusi perubatan yang diiktiraf Majlis Perubatan Malaysia (MMC). 
 
Menjawab soalan asal Wong Ling Biu (DAP-Sarikei) mengenai ketiadaan doktor di Klinik 1Malaysia (K1M), Dr Hilmi berkata perluasan penempatan Pegawai Perubatan akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara.

“Sehingga 30 September tahun ini, sejumlah 102 buah daripada 361 K1M di seluruh negara telah  ditempatkan dengan Pegawai Perubatan yang mana penempatan ini turut melibatkan pertambahan anggota kumpulan sokongan di K1M, khususnya Penolong Pegawai Farmasi bagi tujuan pendispensan ubat serta pertambahan ruang K1M,”katanya.

Katanya, pesakit di K1M juga mencatatkan peningkatan daripada 6,092,332 orang pada 2015 kepada  6,472,001 orang pada 2016.

“Bagi 2017, sehingga 31 Ogos lalu, jumlah kedatangan pesakit adalah 4,445,828 orang,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement