Anda di sini

Anggota JBPM bertugas pada hari mengundi boleh undi secara pos

Advertisement
 Wan Mohd Nor (dua kiri) bersalaman bersama anggota bomba pada Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat JBPM bertemakan ‘Go Green & Healthy Lifestyle’ anjuran Bahagian Udara JBPM di Putrajaya semalam. — Gambar Bernama
SALAM: Wan Mohd Nor (dua kiri) bersalaman bersama anggota bomba pada Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat JBPM bertemakan ‘Go Green & Healthy Lifestyle’ anjuran Bahagian Udara JBPM di Putrajaya semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bekerja dan  tidak boleh meninggalkan tempat kerja kerana tuntutan tugas pada hari Pilihan Raya Umum ke-14 kini dibenarkan mengundi secara pos.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata gazet yang  membenarkan petugas JBPM yang bertugas pada hari pilihan raya untuk  mengundi secara pos dikeluarkan pada 23 Okt lepas.

“Kebenaran untuk meng-undi secara pos ini adalah untuk petugas JBPM sahaja dan tidak melibatkan pasangan mereka. Ini  merupakan perkembangan yang baik dan memberi peluang kepada anggota JBPM untuk menjalankan tanggungjawab kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan  JBPM di ibu pejabat JBPM di sini semalam.

Wan Mohd Nor berkata JBPM akan membekukan cuti warga kerjanya seminggu sebelum dan selepas tarikh pilihan raya umum.

Ini kerana bagi JBPM, pilihan raya umum memerlukan pemantauan dan pemerhatian yang kritikal terutamanya dalam aspek keselamatan, katanya.

Antara tanggungjawab anggota JBPM pada musim pilihan raya ialah siap siaga di kawasan pengiraan undi dan memantau rapat pemilihan umum yang diadakan, katanya.

Mengulas persediaan JBPM menghadapi musim banjir, Wan Mohd Nor berkata JBPM kini dalam keadaan siap sedia dan sudah mengeluarkan arahan pada 1 Nov kepada semua balai JBPM dan ibu pejabat negeri supaya membuat persiapan awal.

Persiapan tersebut antara-nya dari segi keanggotaan, kelengkapan, prosedur dan mesyuarat pengurusan bencana di pelbagai peringkat, katanya. — Bernama

Advertisement