Anda di sini

Abang Johari yakini teknologi digital mampu bangun Sarawak

Advertisement

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari yakin pelaksanaan pembangunan ekonomi digital merupakan cara terbaik untuk Sarawak menjadi negeri maju dengan rakyat berpendapatan tinggi.

Katanya, beliau banyak bercakap mengenai teknologi digital sejak kebelakangan ini kerana menganggap ia salah satu cara terbaik Sarawak menjadi negara maju dengan rakyat berpendapatan tinggi.

“Tujuan kita memberi tumpuan kepada ekonomi digital untuk mewujudkan pekerjaan baik bagi golongan muda sekali gus meningkat peluang ekonomi untuk usahawan dan perniagaan di negeri ini,” katanya.

Jelasnya, jika Sarawak tidak berani, maka akan ketinggalan dan mungkin ditelan arus teknologi dan aplikasi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang digunakan oleh negara jiran kita seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam, katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Komples DUN di sini, semalam.

Abang Johari melahirkan rasa gembira kerana Sarawak kini sedang membuat kemajuan baik ke arah pembangunan ekonomi digital.

“Ini dapat dilihat menerusi kejayaan penganjuran Persidangan Antarabangsa Ekonomi Digital Sarawak  (IDECS) diadakan pada April tahun ini.

“Justeru, saya gembira kerana semua pihak mahupun pihak pembangkang bersetuju dengan penggunaan teknologi digital untuk kecekapan lebih tinggi sekali gus memodenkan kehidupan rakyat Sarawak serta mewujudkan peluang ekonomi baharu semua pihak,” katanya.

Kata Abang Johari, selaras transformasi ekonomi digital Sarawak, kerajaan negeri sedang mengkaji kerajaan digital.

Jelasya, kerajaan digital merupakan platform digital perkhidmatan dibina kerajaan apabila semua maklumat peribadi seseorang warganegara disimpan selamat seterusnya boleh diambil untuk tujuan betul dan terjamin keselamatannya.

“Platform bersepadu ini juga akan memastikan semua urus niaga dengan kerajaan terkini juga menyediakan perkhidmatan awam meliputi maklumat penting mengenai pengenalpastian serta peristiwa kitaran hayat setiap rakyat dari lahir hingga mati,” katanya.

Advertisement