Anda di sini

MOIBF platform terbaik usahawan tempatan kembang perniagaan

Advertisement
AZMIL (kiri) dan Kumi (dua kiri) menunjukkan produk Sanitizer Spray yang telah mendapat pensiji-lan halal.
AZMIL (kiri) dan Kumi (dua kiri) menunjukkan produk Sanitizer Spray yang telah mendapat pensiji-lan halal.

KOTA KINABALU: Forum Perniagaan Antarabangsa Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan, Organisasi Pembangunan Kerohanian dan Kebudayaan (OISCA) keenam (MOIBF) 2017 adalah platform terbaik kepada usahawan tempatan mengembangkan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Takexco Malaysia Sdn Bhd Muhammad Azmil Azman berkata platform itu secara tidak langsung memberi peluang kepada usahawan tempatan berbincang dengan usahawan luar negara melalui pemadanan perniagaan.

“Saya menyertai forum ini setiap tahun dan merasakan platform ini adalah yang terbaik untuk menghubungkan usahawan dalam dan luar negara.

“Jika kita sedar, forum ini dijayakan di tempat-tempat yang berbeza setiap tahun yang mana secara tidak langsung memberi peluang kepada peserta forum untuk berjumpa dengan pelbagai usahawan serta meluaskan perniagaan kepada eksport ke luar negara,” katanya ketika pada MOIBF keenam 2017 di Magellan Sutera Resort pada Selasa.

Azmil yang menjalankan perniagaan Sanitizer Spray berkata perniagaannya itu adalah usahasama dengan Takex Co Jepun melalui pemadanan perniagaan pada forum berkenaan.

“Kami mengeluarkan produkSanitizer Spray yang dihasilkan daripada ekstrak bambu, yang dikeluarkan di Malaysia sendiri.

“Usahasama antara Takex Co Jepun dan usahawan tempatan iaitu saya sendiri ini membuahkan hasil sehingga tertubuhnya syarikat tempatan di sini.

“Pasaran untuk produk ini adalah di Malaysia, Asean dan seluruh dunia kerana kami telah mendapat pensijilan halal untuk produk ini,” katanya.

Jelasnya forum MOIBF 2017 itu mampu mengembangkan perusahaannya apabila ia mula berada di pasaran tempatan kelak.

Katanya sejak awal forum berkenaan, terdapat beberapa usahawan tempatan Sabah menunjukkan minat dengan produk mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Takex Co Ltd Jepun Kumi Okada berkata, usahasama dengan Azmil bermula dari program OISCA kedua sejak 2013 di Kuala Lumpur.

Beliau yang juga menyertai forum itu setiap tahun berharap agar MOIBF akan terus dijayakan untuk membantu bukan sahaja usahawan tempatan tetapi luar negara sebagai hubungan perniagaan global.

Beliau telah dibantu oleh MARA dengan memperkenalkan syarikat mereka kepada syarikat-syarikat tempatan melalui sesi pemadanan perniagaan sehingga membawa kerjasama itu di Malaysia.

“Terima kasih kepada MARA dan MOIBF atas inisiatif membantu mengembangkan perniagaan tempatan dan global kepada perniagaan import eksport,” katanya.

Advertisement