Anda di sini

Empat anggota keluarga Ketua Pemuda MCA Tanjong, rentung

Advertisement

Ibu, isteri, dua anak gagal selamatkan diri dalam kebakaran rumah

 Anggota Bomba dan Penyelamat mengusung satu daripada empat yang rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Pintasan Cecil 5 Pengkalan Weld, George Town, semalam. — Gambar Bernama
MAYAT RENTUNG: Anggota Bomba dan Penyelamat mengusung satu daripada empat yang rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Pintasan Cecil 5 Pengkalan Weld, George Town, semalam. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Empat anggota keluarga Ketua Pemuda MCA Bahagian Tanjong Lim Swee Bok, maut dalam kebakaran di kediaman mereka, di Pangkalan Weld di sini semalam.

Mereka yang maut dalam kejadian pada jam 6 pagi itu ialah isterinya Chen Yen, 35, anak lelaki Lim Yin Chun, 9, dan anak perempuan Lim Jia Yiin, 8, serta ibu ketua pemuda MCA itu Lau Sai Poh, 62.

Rumah kluster dua tingkat di Pintasan Cecil 5, yang didiami keluarga Swee Bok itu musnah sepenuhnya dan ketika kejadian dia tiada di rumah.

Swee Bok yang tiba di rumahnya ketika pihak bomba berusaha memadamkan kebakaran dilihat tidak dapat menahan kesedihan dan terpaksa ditenangkan oleh beberapa jirannya. Beliau juga enggan ditemu bual ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata semua tingkap di rumah itu dipasang jeriji besi dan keadaan itu menyukarkan mangsa keluar dari kediaman berkenaan.

Mayat isteri, anak perempuan dan ibu Swee Bok ditemukan di ruang tamu tingkat bawah pada 7.10 pagi dipercayai cuba menyelamatkan diri manakala anak lelakinya di tingkat atas rumah iaitu 50 minit selepas itu,” katanya di sini semalam.

Ketua Balai Bomba Lebuh Pantai Mohd Rozairi Abdul Rahim berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.08 pagi dan pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan.

Ketika kami tiba, api sedang marak...api berjaya dipadamkan sepenuhnya 7.10 pagi. Empat mayat ditemukan rentung ketika kami membuat pemeriksaan di rumah itu selepas api dipadamkan.

Semua mangsa dipercayai terperangkap dan gagal keluar kerana api marak dengan cepat, lagipun rumah itu hanya mempunyai satu pintu sahaja untuk masuk dan keluar,” katanya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Jiran keluarga itu, Goay Cheng Hong, 38, yang ditemui di tempat kejadian, berkata dia cuba menolong mereka dengan menjerit meminta mereka keluar dari rumah itu segera.

Saya sedar berlaku kebakaran selepas terjaga dari tidur dan mendapati asap tebal...kami terus keluar dari rumah dan nampak rumah Swee Bok terbakar.

Saya dan adik lelaki cuba masuk ke dalam rumahnya untuk tolong, sambil menjerit agar mereka keluar.

Api memang marak masa tu, kami tak lepas nak masuk,” katanya yang menghubungi bomba.

Sementara itu MCA Pulau Pinang merakamkan takziah kepada Lim atas kehilangan empat anggota keluarganya itu.

Pengerusi MCA Pulau Pinang Datuk Tan Teik Cheng berkata MCA akan memberi bantuan termasuk urusan pengebumian keluarganya dan satu pasukan khas dibentuk untuk membantu keluarga Swee Bok.

Ayah Swee Bok baharu meninggal dunia minggu lepas, hari ini (semalam) berita buruk pula apabila isteri, anak dan ibunya ditemukan rentung dalam kebakaran. Kami harap beliau akan terus tabah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, MCA negeri akan memberi sumbangan awal RM10,000 kepada keluarga Swee Bok. — Bernama

Advertisement