Anda di sini

Isu air bersih igauan penduduk luar bandar

Advertisement

KUCHING: Isu bekalan air bersih terus menjadi igauan sesetengah penduduk di luar bandar, kata Majang Renggi (BN-Samalaju).

Menurutnya penduduk di kawasan Suai dan LKTS Suai masih berdepan masalah ketiadaan air.

“Sudah sekian lama penduduk di sini bergantung kepada air hujan dan air sungai sebagai sumber air mereka,” katanya.

Justeru beliau merayu agar pihak kementerian berkaitan mengambil berat dan bertindak segera dalam menangani masalah itu.

Tegasnya, semua rakyat berhak  mendapat bekalan air bersih.

Majang turut berharap pihak berwajib dapat turun padang  meninjau dan mengenal pasti sumber bekalan air altenatif.

“Ia seperti yang diperkenalkan di bawah projek Pembekalan Air Altenatif Luar Bandar Sarawak (SAWAS) atau kaedah lain dapat dilaksanakan bagi menyediakan air bersih ke kawasan ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyentuh isu bekalan elektrik luar bandar.

Katanya Sarawak menyasarkan semua kawasan luar bandar di negeri dibekalkan dengan bekalan elektrik menjelang 2025.

Ia bakal direalisasikan sekiranya sumber tenaga elektrik yang murah dan bersih mampu dijana daripada pembangunan loji-loji hidroelektrik berskala besar.

Majang mengesyorkan kawasan terpencil dan sukar dihubungkan dengan Sistem Grid Negeri agar dimasukkan ke dalam Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar (SARES) yang mengguna pakai sistem bekalan tersendiri melalui solar sebagai penjana tenaga elektrik.

Advertisement