Anda di sini

Empat ikan paus mati terdampar di Aceh

Advertisement
 Gambar rakaman dron menunjukkan pegawai Agensi Pemuliharaan Alam Sekitar (BKSDA) dan aktivis alam sekitar cuba membantu sembilan ikan paus sperma yang terdampar di Aceh Besar kelmarin. — Gambar AFP
MATI: Gambar rakaman dron menunjukkan pegawai Agensi Pemuliharaan Alam Sekitar (BKSDA) dan aktivis alam sekitar cuba membantu sembilan ikan paus sperma yang terdampar di Aceh Besar kelmarin. — Gambar AFP

ACEH BESAR: Empat ikan paus sperma yang terkandas di sebuah pantai di Indonesia disahkan mati, menurut pegawai tempatan semalam, di sebalik usaha gigih untuk menyelamatkan mamalia raksasa itu.

Ikan yang mati antara kumpulan 10 ikan paus sperma yang ditemui penduduk tempatan di sepanjang pantai Ujong Krueng di wilayah Aceh kelmarin, manakala seekor lagi lebih jauh ke perairan.

Anggota penyelamat cuba menyorong sembilan ikan paus terbabit yang terdampar kembali ke laut sambil diperhatikan ratusan penduduk tempatan.

Lima berjaya ditolak ke perairan lebih dalam dan terselamat, tetapi empat mati dengan mulut ternganga ketika ombak kecil menghempas badan gergasi mereka.

“Kami berdepan masalah memindahkan mereka kerana kekurangan alat dan pengalaman.

“Tetapi inilah pengajaran yang baik bagi kami kerana Aceh merupakan lokasi rentasan mamalia marin jadi di masa hadapan kami akan lebih bersedia menghadapi situasi sebegini,” kata ketua agensi pemeliharaan alam sekitar Aceh Aji Prabowo.

Autopsi rasmi akan dijalankan ke atas ikan paus tersebut bagi menentukan punca kematian, tetapi Prabowo percaya haiwan kelabu itu mungkin mengikut ketua mereka ke pantai atau tersesat.

“Lazimnya ikan paus sperma mengelak air dalam apabila mereka sakit.

“Kami mendapati dua daripada mereka sakit.

“Jadi kami percaya yang sakit itu adalah ketua mereka dan yang lain secara automatik mengikut ketua mereka ke pantai,” tambah Prabowo.

Ini kali kedua dalam bebera-pa tahun di mana ikan paus sperma ditemui terdampar di wilayah paling utara Suma-tera, di mana seekor ditemui mati di pantai di Banda Aceh pada 2016. — AFP

Advertisement