Anda di sini

Combi berperanan mengatasi masalah denggi

Advertisement
 Rogayah (tengah) menyerahkan alat Combi kepada Kaunselor Rabek Ali, sementara Pegawai Pendidikan Kesihatan Pejabat Kesihatan Sibu Suriati Saperi (kiri) melihat sama.
SERAH: Rogayah (tengah) menyerahkan alat Combi kepada Kaunselor Rabek Ali, sementara Pegawai Pendidikan Kesihatan Pejabat Kesihatan Sibu Suriati Saperi (kiri) melihat sama.

SIBU: Pasukan Sukarelawan Komunikasi Perubahan Tingkah Laku (Combi) memainkan peranan penting menggerakkan masyarakat mengatasi masalah denggi melalui penjagaan kawasan dengan baik.

Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Rogayah Jamain berkata justeru pihaknya bekerjasama dengan masyarakat menyemai amalan menjaga kebersihan kediaman mereka.

“Salah satu aktiviti ialah menggerakkan masyarakat memastikan kawasan persekitaran mereka dijaga dengan baik  melalui gotong-royong.

“Gotong-royong perlu diadakan secara kerap dan bukan hanya berkala,” katanya pada Program Pasukan Sukarelawan Combi 2017 Daerah Sibu di Surau Darus Sa’adah Kampung Hilir di sini.

Program itu dianjurkan Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Hilir 2 serta JKKK Kampung Pa’dris.

Ia bertujuan menggerakkan komuniti supaya menjaga kebersihan sekeliling sebagai langkah pencegahan denggi.

Rogayah menegaskan bahawa sudah menjadi tanggungjawab setiap anggota masyarakat memastikan kebersihan sekitar kediaman mereka.

Beliau berkata, dengan cara itu secara automatik memusnahkan habitat pembiakan nyamuk aedes.

“Untuk mencapai objektifnya, aktiviti gotong-royong perlu disambut baik semua penduduk kampung dan bukan hanya sebahagian mereka sahaja,” jelasnya.

Beliau berkata program Combi adalah gabungan pendidikan kesihatan, penilaian sekitar, teknik pengiklanan dan penggerak mencapai impak kesihatan kepada masyarakat.

“Saya harap penduduk kampung menggunakan program ini untuk memberi kerjasama kepada Jabatan Kesihatan memastikan sukarelawan Combi kekal relevan menangani isu kebersihan,” katanya.

Selain gotong-royong terdapat pemeriksaan kesihatan, ceramah kesihatan dan pameran diadakan.

Selain Kampung Hilir, lokasi lain Combi ialah Kampung Dato Baru, Jalan Bandong/Abang Barieng, PBB Ranting Hilir 2, Rumah Kunsu, Taman Rejang dan Kampung Bahagia Jaya, Teku.

  • oleh
  • Advertisement