Anda di sini

19 klinik di Baram terlibat dalam sistem penaiktarafan pendawaian

Advertisement

KUCHING: Sejumlah 19 klinik di daerah Baram terlibat dalam proses penaiktarafan sistem pendawaian elektrik pada 2017.

Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Annuar Rapaee berkata, bagi tujuan berkenaan kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.07 juta dan jumlah peruntukan bagi setiap klinik adalah berbeza berdasarkan skop kerja yang dilaksanakan.

“Peruntukan RM1.07 juta telah diperuntukkan untuk menaik taraf 19 klinik di mana terdapat 24 klinik terdapat di kawasan Baram.

“Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), tiga klinik baharu dibina di kawasan Baram iaitu Klinik Kesihatan Bario, Klinik Long Lama yang telah dinaik taraf klinik kluster dan Klinik Long Jekitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Dennis Ngau (BN-Telang Usan) mengenai perancangan kerajaan menaik taraf klinik di kawasan Baram pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Tambah Dr Annuar, sementara bagi klinik Long San, ia kini masih dalam perancangan untuk mengenal pasti tapak yang sesuai.

“Sehubungan itu kita memohon agar Yang Berhormat Telang Usan (Dennis) bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri untuk mengenal pasti tapak yang sesuai bagi Klinik Long San supaya dapat memberi manfaat kepada rakyat di kawasan berkenaan,” katanya.

Berhubung isu klinik yang masih menggunakan penjana kuasa elektrik atau genset, beliau menegaskan, daripada jumlah 24 klinik di Baram 17 klinik masih menggunakan genset.

Sementara tiga lagi kini dalam proses menaik taraf untuk penyambungan ke grid dan empat telah mendapat bekalan elektrik daripada Sarawak Energy Berhad (SEB).

“Bagi masalah kekurangan diesel klinik-klinik berkenaan saya percaya ia boleh diteliti namun pada akhirnya memang hasrat kerajaan dengan adanya grid meluas di Sarawak, semua klinik tersebut sebaiknya diberi kemudahan elektrik untuk bekalan 24 jam,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Annuar berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia telah meluluskan peruntukan sebanyak RM274,000 bagi menguji tahap keselamatan sistem elektrik di 220 fasiliti kesihatan di Sarawak pada 2016.

Katanya, daripada jumlah 220 fasiliti tersebut, 40 klinik di bawah Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Miri telah diuji pendawaian oleh syarikat yang kompeten.

Advertisement