Anda di sini

PDRM sedia lebih 1,000 anggota untuk misi bantuan bencana

Advertisement
 

TUMPAT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyediakan lebih 1,000 anggota bersama pelbagai kelengkapan yang boleh digerakkan hanya dalam tempoh setengah jam ke mana-mana kawasan di seluruh negara bagi misi bantuan bencana. 

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Zulkifli Abdullah (gambar) berkata pasukan berkenaan boleh digerakkan sama ada melalui udara, darat atau ke mana-mana lokasi yang diperlukan. 

“Pasukan berkenaan akan menjalankan misi bantuan dan menyelamat ke kawasan yang diminta terutamanya kawasan banjir. 

"Sebenarnya polis sudah ada di semua kawasan bagi menjalankan segala misi bantuan dan menyelamat tetapi sekiranya ada negeri yang memohon bantuan, kita akan menghantar pasukan ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor di sempadan Kelantan-Thailand di sini, hari ini. 

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Din Ahmad, Komander PPM Wilayah Tiga ACP Zulkafli Saariat dan Komander Polis Sempadan Diraja Thailand Kapten Abdul Hakim Che Moh. 

Zulkifli berkata pasukan berkenaan sebenarnya sudah bersiap siaga dengan segala kemudahan logistik dan hanya menunggu panggilan bantuan daripada pihak yang memerlukan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand amat penting kerana kedua-dua pihak mempunyai kepentingan bersama iaitu tidak mahu sebarang anasir membolosi sempadan tersebut. 

Beliau berkata pertukaran maklumat amat penting dalam memastikan sebarang kegiatan penyeludupan khususnya senjata api, dadah dan pelampau agama seperti militan Daesh dapat dibanteras. 

"Dalam konteks pembanterasan, kita akan melihat bagaimana kita boleh menjalankan tugas dengan lebih baik dan mahu agar PPM dilengkapi dengan peralatan lebih canggih bagi membantu tugasan secara lebih berkesan," katanya. - BERNAMA

Advertisement