Anda di sini

Trump bidas ‘rejim kultus’ Pyongyang

Advertisement

Kecaman bersulam diplomasi cara Presiden AS itu dikhuatiri cetus kontroversi

 Trump menyampaikan ucapan di Dewan Negara di Seoul, semalam. — Gambar AFP
RETORIK MELAMPAU: Trump menyampaikan ucapan di Dewan Negara di Seoul, semalam. — Gambar AFP

SEOUL: Presiden Donald Trump memberi amaran kepada pemerintahan kuku besi yang kejam di Korea Utara untuk tidak memandang rendah Amerika Syarikat (AS) semalam, tetapi menawarkan masa depan yang lebih baik kepada pemimpin Kim Jong-Un jika beliau melupakan cita-cita programnya.

Dalam satu ucapan kepada Parlimen Korea Selatan, yang pertama oleh presiden AS dalam tempoh 24 tahun, Trump melakar gambaran gelap mengenai Pyongyang sebagai rejim zalim yang menindas.

Beliau menyeru kepada dunia untuk bertindak, khususnya mengetengahkan dua sekutu Korea Utara, China, yang ditujuinya lewat semalam, dan Rusia.

Korea Utara merupakan sebuah negara yang diperintah sebagai satu kultus,” kata pemimpin AS itu, setahun tepat selepas beliau memenangi pilihan raya.

Di tengah-tengah kultus ketenteraan ini adalah kepercayaan gila kepada takdir pemimpin untuk memerintah sebagai pelindung induk ke atas semenanjung Korea yang ditakluki dan bangsa Korea yang diperhambakan.”

Sebelum pertemuannya dengan Presiden China Xi Jinping di mana negara China bertanggungjawab bagi kira-kira 90 peratus daripada ekonomi Korea Utara, Trump menyeru kepada dunia untuk bersatu menentang ancaman dari Pyongyang.

Anda tidak boleh menyokong, anda tidak boleh membekal, anda tidak boleh menerima,” katanya, dan menggesa China dan Rusia untuk melaksanakan sepenuhnya sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menurun taraf hubungan diplomatik, dan memutuskan semua hubungan dagangan dan teknologi.

Terdahulu Trump terpaksa membatalkan lawatan mengejut ke Zon Bebas Tentera (DMZ) yang membahagikan kedua-dua negara Korea disebabkan oleh keadaan cuaca buruk, yang menghampakannya, menurut Rumah Putih.

Presiden Korea Selatan Moon Jae-In, yang terbang lebih awal sebelum kabus berlaku, menunggunya di sebuah pos pengawal di sempadan, yang penuh dengan pagar elektrik, bom periuk api dan perintang anti-kereta kebal.

Walaupun Trump mengecam pihak berkuasa, beliau turut menghulurkan tangan kepada pemimpin Kim Jong-Un, yang telah menyelia kemajuan yang pesat dalam teknologi senjatanya.

Dalam apa yang beliau sebut sebagai pesan secara langsung kepada pemimpin muda negara itu, beliau memberitahunya: “Senjata yang anda perolehi tidak membuatkan anda lebih selamat, sebaliknya meletakkan rejim anda dalam bahaya yang besar.”

Korea Utara bukan syurga yang datuk anda bayangkan, sebaliknya neraka yang tidak layak bagi sesiapa pun.

Namun demikian, walaupun anda telah melakukan setiap jenayah menentang Tuhan dan manusia, kami akan menawarkan jalan ke arah masa depan yang jauh lebih baik,” ujarnya.

Bagaimanapun ia perlu bermula dengan tindakan Korea Utara yang menghentikan pembangunan misil balistik, kata Trump, serta pemansuhan senjata nuklear yang total dan disahkan sepenuhnya.

Penganalisis berkata ucapan itu mungkin tidak akan diterima dengan baik di Pyongyang, yang khususnya sensitif mengenai kritikan terhadap pemimpinnya.

Go Myong-Hyun, dari Institut Kajian Dasar Asan di Seoul, berkata kritikan terbuka terhadap realiti di Korea Utara memudarkan prospek bagi rundingan.

Mesej yang beliau sampaikan ialah AS tidak akan membuka dialog menurut terma Korea Utara,” katanya.

Yang Moo-Jin dari Universiti Kajian Korea Utara di Seoul berkata beliau amat kecewa.

Separuh pertama ucapannya kelihatan seperti sidang akhbar yang dibuat pembelot dari Korea Utara,” katanya manakala mesej Trump bahawa program nuklear Korea Utara tidak akan dibiarkan bukanlah sesuatu yang baharu.

Namun melabel Kim diktator kejam mungkin memadai untuk menimbulkan kemarahan Korea Utara kerana sistem Korea Utara meletakkan kepentingan utama kepada maruah kepimpinannya,” katanya.

Sebelum ucapan itu, akhbar Rodong Sinmum di Korea Utara, wadah untuk Parti Pekerja yang memerintah negara, mengecam lawatan Trump, dan menyifatkannya sebagai ‘skim sengaja bertujuan untuk mengukuhkan ancaman ketenteraan ke atas kami dan menyalakan fius perang nuklear’. — AFP

Advertisement