Anda di sini

Kevin Morais: Nasib enam tertuduh diketahui 20 Nov

Advertisement

KUALA LUMPUR: Enam lelaki yang didakwa atas pertuduhan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais akan mengetahui nasib mereka pada 20 Nov ini sama ada dipanggil membela diri atas pertuduhan itu atau dilepaskan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan yang berlangsung selama tiga hari bermula Isnin lepas.

Lima tertuduh R Dinishwaran, 25; AK Thinesh Kumar, 24; M.Vishwanath, 27; S. Nimalan, 24 dan  S.Ravi Chandaran, 46, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015, antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kolonel Dr R. Kunaseegaran, 54, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan lima lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 302 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Saiful Edris Zainuddin manakala peguam V. Rajehgopal mewakili  Vishwanath, Nimalan, dan  Ravi Chandaran; peguam M. Manoharan bertindak bagi pihak Dinishwaran dan Thinesh Kumar; manakala peguam Datuk N. Sivananthan dan Datuk Geethan Ram Vincent pula mewakili Kunaseegaran.

Pihak pendakwaan memanggil 70 saksi pada perbicaraan kes itu yang berlangsung selama 57 hari.

Kevin Morais dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015. Beliau dilihat meninggalkan apartmennya di Menara Duta di sini dengan menaiki kereta Proton Perdana nombor pendaftaran WA6264Q.

Mayatnya ditemukan di dalam sebuah tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 Sept 2015. — Bernama

Advertisement