Anda di sini

Curi kabel: Latar belakang kontraktor perlu disemak

Advertisement

Banyak kecurian dilakukan individu pakar pasang kabel

 Gan (dua kanan) bersama para anggotanya menunjukkan lapan bateri menara pencawang telekomunikasi bernilai RM15,000 yang berjaya dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh, semalam. — Gambar Bernama
RAMPASAN: Gan (dua kanan) bersama para anggotanya menunjukkan lapan bateri menara pencawang telekomunikasi bernilai RM15,000 yang berjaya dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh, semalam. — Gambar Bernama

IPOH: Polis Perak menggesa pemilik menara pencawang telekomunikasi di negeri itu supaya menyemak latar belakang kontraktor yang dilantik untuk mengelak kejadian tidak diingini termasuk kecurian bateri dan kabel pencawang.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Perak Datuk Gan Tian Kee berkata, kebanyakan kes kecurian yang dilaporkan di negeri itu dilakukan oleh individu yang mempunyai kepakaran dalam kerja-kerja pemasangan kabel.

Kalau orang biasa (mencuri) yang tiada kepakaran mungkin mengambil masa tiga hingga empat jam atau terkena renjatan elektrik, tetapi yang ada kemahiran mungkin mengambil masa setengah jam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, semalam.

Selain itu, Gan berkata langkah lain yang wajar diambil oleh pemilik menara telekomunikasi untuk mencegah kecurian termasuk mengupah pengawal keselamatan dan menyimpan nombor telefon bilik gerakan polis.

Saya juga ingin memberi amaran kepada pemilik perniagaan barangan terpakai di Perak supaya tidak membeli kabel yang disyaki dicuri sebab kita akan membuat pemeriksaan dan jika didapati salah kita akan membatalkan lesen mereka,” tegasnya.

Terbaharu, Gan berkata seorang kontraktor pencawang telekomunikasi ditahan polis ketika sedang mencuri bateri menara pencawang di Taman Bemban Raya, Batu Gajah, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, suspek yang berumur 42 tahun berasal dari Sarawak ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah.

Katanya, suspek yang berkhidmat sebagai kontraktor memasang pencawang telekomunikasi sejak 15 tahun lalu turut mempunyai rekod jenayah lampau dan positif dadah jenis Meth.

Hasil daripada tangkapan ini polis percaya telah menyelesaikan tujuh kes curi kabel dan bateri menara pencawang telekomunikasi di sekitar Batu Gajah,” katanya.

Menurut Gan, selain lapan bateri pencawang, polis turut merampas beberapa barangan lain dipercayai digunakan untuk memasang dan membuka kabel serta serangkai kunci.

Dianggarkan nilai rampasan berjumlah RM15,000 tetapi jika dikira kos memasang dan servis boleh mencecah dua kali ganda nilai tersebut,” katanya.

Katanya, suspek berkenaan direman mulai semalam sehingga 11 Nov untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri yang boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Gan berkata sepanjang tahun ini 180 kes kecurian kabel dan bateri dilaporkan di Perak dan daripada jumlah itu 34 kes berjaya diselesaikan dengan 24 daripadanya telah dituduh di mahkamah, manakala 10 lagi diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Dalam perkembangan lain, Gan berkata polis menahan empat suspek kes samun kedai serbaneka 24 jam di Halaman Meru Permai, Meru Raya, Ipoh pada 12 Okt lalu.

Katanya semua suspek tersebut ditahan semalam dan polis akan mendapatkan perintah reman daripada mahkamah hari ini, katanya. — Bernama

Advertisement