Anda di sini

Sate tuna produk baharu bandar raya Miri

Advertisement
 Belayong (lima kanan), Fatimah (enam kanan), Buniaman (enam kiri) bersama peserta Kursus Ikan Tuna di Miri semalam.
SATE TUNA: Belayong (lima kanan), Fatimah (enam kanan), Buniaman (enam kiri) bersama peserta Kursus Ikan Tuna di Miri semalam.

MIRI: Bandar raya Miri bakal mempunyai satu lagi produk baharu yang mampu bersaing dengan produk tempatan seperti belacan Miri dan keropok lekor iaitu sate tuna.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sarawak Belayong Nyuak berkata Jabatan Perikanan akan membantu pengusaha dan nelayan untuk memasarkan sate tuna.

“LKIM memberi bantuan serta saluran memasarkan produk berasaskan perikanan agar pengusahanya termasuk keluarga nelayan dapat menambah pendapatan,” katanya pada Kursus Ikan Tuna di sini semalam.

Kursus itu disertai penduduk dari Kampung Kuala Sibuti dan dihadiri Pegawai Jabatan Perikanan Kawasan III Buniaman Kiprawi.

Belayong berkata, pihaknya bangga dengan pengeluaran produk baharu berasaskan ikan yang dapat menambah pendapatan nelayan ke pasaran lebih luas.

Katanya LKIM menyediakan latihan, mempromosi serta bantuan berkaitan kepada peserta yang komited memasarkan produk baharu ke pasaran tempatan.

“Kita sangat gembira dengan produk sate tuna yang lengkap diproses, dibungkus serta sedia untuk bersaing dalam industri makanan di sini,” jelasnya.

Menurutnya, sebagai contoh nelayan di Belawai mengeluarkan produk sendiri iaitu udang sesar turut mendapat pemintaan dalam pasaran tempatan.

Sementara itu, pemilik Rosfaniaga Services Sdn Bhd Fatimah Abdul Hamid berterima kasih kepada LKIM kerana membantu mengetengahkan produk sate tuna.

“Kami memainkan peranan dalam penyediaan, pembungkusan dan penghantaran sate tuna ke pasaran seluruh Sarawak dan Semenanjung Malaysia jika terdapat permintaan tinggi,” katanya.

Kursus itu memberi pengetahuan kepada peserta memproses ikan tuna menjadi sate selain kaedah betul dalam proses pembungkusan.

  • oleh
  • Advertisement