Anda di sini

UPP Pujut cadang penubuhan konsortium transformasi perkhidmatan bas awam Miri

Advertisement
 Bruce (berdiri) bersama Pasukan Tindakan Bergerak (MAT) selepas menerangkan tentang Harapan Miri UPP Pujut.
HARAPAN MIRI: Bruce (berdiri) bersama Pasukan Tindakan Bergerak (MAT) selepas menerangkan tentang Harapan Miri UPP Pujut.

MIRI: Parti Rakyat Bersatu (UPP) Pujut mencadangkan agar konsortium atau pakatan antara syarikat bas awam di Miri ditubuhkan untuk mentransformasikan perkhidmatan bas awam di sini yang semakin malap.

Pengerusinya Bruce Chai berkata kerjasama kerajaan negeri diperlukan untuk merealisasi dan mempercepatkan penubuhan konsortium itu selain mendapatkan dana untuk menambah baik perkhidmatan.

Hanya dua syarikat bas aktif di sini. Penglibatan kerajaan negeri dalam penubuhan konsortium itu membolehkan syarikat terlibat dalam program SBST di bawah kerajaan pusat,” katanya di sini semalam.

SBST atau Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti  dilaksanakan pada 2015 untuk menangani masalah dihadapi industri bas henti-henti.

Di bawah program ini, kerajaan persekutuan melabur RM100 juta untuk bandar-bandar tertentu seperti Kangar, Seremban, Ipoh dan Kuala Terengganu untuk meningkatkan mobiliti serta akses rakyat di mana bas henti-henti masih kekal sebagai tunjang pengangkutan awam.

Ia merupakan konsep baharu bas henti-henti berasaskan konsep `networking planning’ diperkenalkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Kuching juga merupakan antara lima ibu negeri dipilih untuk perkhidmatan lebih cekap dan boleh dipercayai.

Program SBST dilihat dapat menyuntik dana kerajaan menghidupkan sistem pengangkutan awam kita.

Ini kerana Miri semakin membangun dan kita memerlukan bas awam lebih selesa dilengkapi ciri-ciri keselamatan CCTV, WiFi percuma, sistem bayaran tanpa tunai (cashless),” jelasnya tentang Harapan Miri oleh UPP Pujut.

Selain itu, kerjasama penggiat industri pelancongan juga penting untuk mengenal pasti laluan-laluan mempromosikan destinasi kunjungan menarik di sini.

Mengulas lanjut tentang industri pelancongan Miri, Bruce berkata jaringan pengangkutan dan perhubungan dari darat dan udara perlu dititikberatkan.

Kerja-kerja menaik taraf Lapangan Terbang Miri dan Pusat Imigresen di Sungai Tujuh Kuala Baram perlu dipercepatkan.

Majlis Bandaraya Miri, Lembaga Pelancongan, pemain-pemain industri, badan majlis perniagaan perlu terlibat dan dimaklumkan tentang pelan naik taraf ini agar mereka diberi peluang memberi input.

Pelaksanaan infrastruktur keperluan segera perlu menjadi fokus utama kepada pembangunan,“ jelasnya.

Mengenai isu kesihatan, Bruce menyifatkan kerja-kerja menaik taraf Hospital Miri masih lambat dan menjadi kebimbangan penduduk.

Ini kerana Hospital Miri bukan sahaja untuk keperluan pesakit di Miri tetapi berkhidmat untuk pesakit dari seluruh kawasan utara Sarawak.

Kita tahu membina infrastruktur kesihatan awam tidak mengambil masa singkat, tetapi memerlukan perancangan, peruntukan bajet dan perundingan profesional,” ujarnya.

Mengulas tentang pembangunan Miri sebagai bandar raya hijau, usaha menukar wajah dan mencantikkan taman awam sedia ada harus dilaksanakan agar terus dikunjungi dan dimanfaatkan oleh penduduk.

Advertisement