Anda di sini

HPP turut dilanda banjir kilat

Advertisement
 Sebatang pokok tumbang menghempap motosikal yang diparkir berhampiran berikutan hujan lebat serta ribut di Jelutong awal pagi semalam. — Gambar Bernama
TUMBANG: Sebatang pokok tumbang menghempap motosikal yang diparkir berhampiran berikutan hujan lebat serta ribut di Jelutong awal pagi semalam. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Sebahagian kawasan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat dan angin kuat sejak kelmarin.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Datuk Dr M. Sukumar berkata seramai 104 pesakit dan bayi baharu lahir dipindahkan ke wad yang lebih selamat dan kesemua pesakit mendapat rawatan yang sewajarnya serta tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Antara kawasan yang terlibat termasuk Unit Pengangkutan, tingkat bawah Blok C dan D. Ini termasuk empat wad pesakit dan wad rawatan rapi neonatal. Arahan pengungsian telah dikeluarkan dan ia dilaksanakan sekitar 2.30 pagi hingga 5.30 pagi. Kenderaan juga telah dipindahkan ke kawasan selamat,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Beliau berkata perkhidmatan perawatan pesakit luar dan pesakit dalam termasuk perkhidmatan ambulans di HPP masih diteruskan seperti biasa.

Sukumar turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat berkaitan kejadian banjir kilat di HPP sehingga mencetuskan suasana panik kepada waris pesakit.

Hampir keseluruhan kawasan Pulau Pinang dilanda banjir kilat setinggi 0.2 meter hingga 1 meter dan puluhan pokok tumbang selepas hujan lebat serta angin kuat sejak jam 2 petang kelmarin dan hujan berlarutan hingga 5 pagi semalam.

Semua daerah telah ditelenggelami air berikutan hujan lebat berterusan serta paras air sungai yang tinggi bertembung dengan kejadian air pasang di laut menyebabkan limpahan air berlaku dengan cepat. — Bernama

Advertisement