Anda di sini

Hospital Medan tajaan Malaysia beroperasi 1 Dis: PM

Advertisement

KUALA LUMPUR: Hospital medan tajaan Malaysia bagi membantu pelarian Rohingya di Bangladesh akan mula beroperasi selewat-lewatnya 1 Dis ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata setakat ini lokasi awal pembinaan hospital itu adalah kira-kira pada jarak 10 ke 15 minit daripada kem pelarian terdekat, namun lokasi sebenar akan ditentukan pasukan pemantau yang akan bertolak Selasa ini.

Ia di Chittagong namun dekat dengan Cox Bazar dan pada ketika ini saya diberitahu 10 ke 15 minit daripada kem pelarian tapi lokasi sebenar akan ditentukan pasukan pemantau. Selepas itu kita akan buat pengumuman penempatan yang sebenarnya daripada segi spesifik.

Kita punya pasukan hadapan akan lihat dengan lebih terperinci lagi, mungkin ada pelarasan tertentu yang kita akan buat, sebab kita nak utamakan kebersihan kalau tempat itu boleh sebabkan kesan kepada kebersihan saya beri kepada pakar-pakar kita untuk buat keputusan, ini bukan soal dasar, ini pengoperasian,” katanya kepada sidang media, di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas melancarkan misi membina dan mengendalikan hospital medan bagi membantu pelarian Rohingya di Bangladesh dan meninjau latihan percubaan operasi hospital berkenaan yang diadakan di Hospital ATM Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Ketua Pengarah MKN Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata barangan logistik hospital berkenaan dijangka diterbangkan pada 20 Nov manakala kumpulan pertama anggota yang terlibat bagi operasi hospital berkenaan akan berlepas sehari kemudian.

Katanya operasi hospital medan setaraf hospital daerah berpakar dalam negara itu dicadang beroperasi selama tiga bulan dengan dikendalikan Kementerian Kesihatan dan orang perseorangan sebagai sukarelawan, manakala hospital didirikan anggota ATM.

Ini adalah satu usaha secara bersama dan manifestasi kepada kesungguhan kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia untuk terus perjuangkan kebajikan dan kepentingan orang pelarian Rohingya yang ditimpa tekanan yang amat dahsyat,” katanya dan menambah kata bahawa tumpuan hospital berkenaan akan diberikan kepada penjagaan bayi dan kanak-kanak.

Najib berkata hospital serba lengkap dengan kemudahan mengendalikan pembedahan termasuk pembedahan ortopedik dan membuat penyelidikan itu apabila siap akan mewujudkan kehadiran Malaysia yang amat bermakna.

Inilah kemungkinan bantuan terbesar yang mana-mana negara lain (juga akan lakukan). Saya dah kata dalam isu Rohingya ini kita keterhadapan, bukan sahaja daripada segi tindakan diplomasi dan tindakan di forum-forum tertentu tetapi juga daripada segi bantuan.

Kita dah bagi bantuan makanan, selimut, tuala dan sebagainya tetapi kali ini kita akan mewujudkan satu penempatan yang sangat bermakna,” katanya. — Bernama

Advertisement