Anda di sini

Puigdemont kini menjadi buruan Sepanyol

Advertisement

Tolak dakwaan sebagai bermotif politik, bekas presiden Catalonia itu berlindung di Belgium

 Gambar fail 27 Oktober lalu menunjukkan Puigdemont menyanyikan lagu negeri Catalonia ‘Els Segadors’ selepas sesi Parlimen Catalonia di Barcelona. — Gambar AFP
PALING DIKEHENDAKI: Gambar fail 27 Oktober lalu menunjukkan Puigdemont menyanyikan lagu negeri Catalonia ‘Els Segadors’ selepas sesi Parlimen Catalonia di Barcelona. — Gambar AFP

MADRID: Seorang hakim di Sepanyol mengeluarkan waran tangkap Kesatuan Eropah (EU) untuk ketua pemisah Catalonia, Carles Puigdemont, sehari selepas beliau gagal untuk hadir bagi soal siasat berhubung peranannya dalam kempen kemerdekaan wilayah itu yang huru-hara.

Pengumuman itu memburukkan lagi kemarahan dan kekecewaan pada malam demonstrasi kedua berturut-turut di wilayah timur laut yang mewah itu, di mana penunjuk perasaan melaung dan mengibarkan bendera Catalan yang berjalur merah dan kuning dengan satu bintang putih. 

Pendakwa raya Sepanyol mahu mendakwa Puigdemont, 54, yang berselindung di Belgium, dengan tuduhan memberontak, menghasut dan menyalahgunakan dana awam.

Pada Khamis lepas beliau tidak mempedulikan saman untuk hadir di hadapan hakim yang sama di Madrid.

Waran tangkap EU turut dikeluarkan bagi empat menteri Catalan lain yang tidak muncul dan juga dipercayai berada di Belgium, satu kenyataan mahkamah menyebut.

Mereka, seperti Puigdemont, dipecat oleh kerajaan pusat Sepanyol seminggu lalu.

Pada Khamis lepas hakim berkenaan mengurung timbalan Puigdemont dan tujuh menteri wilayah lain dalam penjara sementara menunggu perbicaraan kerana risiko mereka mungkin juga akan melarikan diri.

Bercakap dalam wawancara di saluran televisyen Belgium RTBF kelmarin, yang dirakamkan sebelum waran itu dikeluarkan, Puigdemont berkata beliau tidak bersembunyi daripada keadilan sebenar, sebaliknya daripada sistem undang-undang Sepanyol yang jelas dipolitikkan.

Beliau berkata beliau tidak yakin dengan jaminan mengenai perbicaraan yang adil, dan mengecam tekanan kuat dan pengaruh politik ke atas kuasa kehakiman di Sepanyol.

Krisis politik terburuk di Sepanyol sejak sekian lama meletus ekoran penganjuran referendum kemerdekaan Catalan pada 1 Oktober walau-pun dilarang mahkamah.

Polis Sepanyol cuba tetapi gagal untuk menghalangnya, dalam beberapa kes melepaskan peluru getah.

Deklarasi kemerdekaan oleh Parlimen Catalonia menyusul seminggu lalu.

Kerajaan Sepanyol bertindak dengan memecah kerajaan Puigdemont, melaksanakan pemerintahan langsung dan mengumumkan pilihan raya baharu di Catalonia pada 21 Disember.

Searmai 20 orang termasuk Puigdemont dan speaker parlimen Catalan telah dipanggil untuk disoal siasat pada Khamis lepas.

Peguam Puigdemont di Belgium, Paul Bekaert, yang pernah membantu militan pemisah Basque mencabar ekstradisi Sepanyol, berkata anak guamnya tidak melihat iklim itu kondusif untuk memberikan keterangan.

Lewat Khamis, ketika rakaman televisyen menunjukkan van polis dengan pancaran lampu biru membawa bekas menteri Puigdemont ke pelbagai penjara, orang Catalan yang berang menunjuk perasaan di jalanan.

Kira-kira 20,000, menurut polis, berdemonstrasi di ibu kota wilayah, Barcelona, manakala orang lain berhimpun di bandar-bandar, dan ribuan muncul sekali lagi pada petang kelmarin.

Sejumlah 7.5 juta warga Catalonia, yang sehingga minggu lepas mempunyai autonomi meluas, amat bangga dengan bahasa dan budaya mereka tetapi berpecah-belah mengenai kewajaran kemerdekaan. — AFP

Advertisement