Anda di sini

PM gesa PKS sesuaikan diri berurus niaga di DFTZ

Advertisement

Ia akan menjadi platform baik bagi mereka berniaga secara besar-besaran di peringkat antarabangsa

SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar menyesuaikan diri apabila mengembangkan perniagaan mereka terutamanya menerusi Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang mula beroperasi kelmarin.

 Beliau berkata PKS terutamanya dipilih untuk berada dalam DFTZ kerana ia akan menjadi platform baik bagi mereka untuk berniaga secara besar-besaran di peringkat antarabangsa.

 “PKS sepatutnya dapat melihat peluang itu, di mana platform dalam talian boleh membantu menjual produk mereka (dengan) teknik yang betul,” katanya selepas majlis pelancaran Hab E-Penunaian DFTZ KLIA Aeropolis Park bersama dengan Pengasas Alibaba, Jack Ma, di sini.

 Najib, yang juga Menteri Kewangan melahirkan harapan agar DFTZ mencapai kejayaan disokong oleh syarikatsyarikat terutamanya yang didokong generasi muda.

 DFTZ merupakan komponen utama untuk memacu ekonomi digital Malaysia, memudahkan PKS memanfaatkan pertumbuhan pesat ekonomi Internet dan perdagangan rentas sempadan.

 Najib berkata DFTZ dijangka mewujudkan 60,000 peluang pekerjaan dan menggandakan eksport PKS kepada RM162.9 bilion menjelang 2025.

 Produktiviti PKS tempatan juga dijangka meningkat tiga hingga empat peratus menjelang 2025.

 “Kita belum lagi sampai ke tahap itu, apabila kita mencapainya kelak, Malaysia bakal menjadi antara 20 ekonomi terbesar di dunia.

 “Justeru itu, saya mahu PKS berkembang dengan pesat, capai kejayaan luar biasa, dan ini boleh terlaksana dengan DFTZ,” katanya.

 Perdana Menteri juga berkata kerajaan berusaha melakukan segalanya, di samping memastikan sokongan berterusan diberikan kepada industri ini, yang merupakan tulang belakang ekonomi negara.

 Dalam pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini, kerajaan mengumumkan fasa pertama DFTZ akan menyaksikan penyertaan kira-kira 1,500 PKS dan dijangka menarik pelaburan bernilai RM700 juta serta mewujudkan 2,500 peluang pekerjaan.

 Beliau berkata setakat ini 1,972 PKS telah menyertai DFTZ, melepasi sasaran awal 1,500.

 “Dalam Bajet 2018, kami menyediakan peruntukan bagi fasa pertama DFTZ dan akan memperuntukkan lebih banyak lagi bagi fasa kedua,” katanya.

 Najib juga mengumumkan firma e-dagang terkemuka dunia, Alibaba, akan memilih satu minggu pada tahun depan yang akan dijadikan sebagai ‘Minggu Malaysia’ di platformnya, untuk antara lainnya, mempromosikan makanan, produk dan destinasi pelancongan Malaysia. — Bernama

Advertisement