Anda di sini

Agensi keselamatan dikerah ke lokasi bantu mangsa banjir

Advertisement
 

KUCHING: Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diarah bekerja sama dengan agensi-agensi keselamatan lain membantu mangsa-mangsa di lokasi banjir di Pulau Pinang pagi tadi.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar) semasa ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis Ekspresi Negaraku Peringkat Negeri Sarawak di Dataran Perayaan, di sini.

Beliau berkata kerahan itu dibuat selepas beliau menerima panggilan daripada Ketua Menteri Pulau Pinang  Lim Guan Eng pada 3.34 pagi, memaklumkan mengenai keadaan banjir di negeri itu.

“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara untuk menyelaras Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia ke lokasi (banjir) kira-kira jam 8.30 tadi.

“Mereka sudah menggerakkan semua unit untuk membantu mangsa banjir ... Saya tidak tahu maklumat terperinci mengenai kejadian itu tetapi agensi-agensi berkaitan telah dikerah ke sana,” ujarnya.

Pulau Pinang hari ini lumpuh selepas puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di lima daerah di negeri ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih 15 jam sejak semalam.

Hujan lebat dan angin kencang sejak 2 petang dan berlarutan sehingga 5 pagi ini juga menyebabkan ratusan pokok dan beberapa kawasan mengalami kejadian tanah runtuh.

Hampir keseluruhan kawasan rendah di Pulau Pinang dinaiki air setinggi 0.2 meter hingga 1 meter berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan bertembung dengan kejadian air pasang di laut mengakibatkan limpahan air berlaku dengan pantas.

Lim berkata 1,968 mangsa banjir kini ditempatkan di beberapa pusat pemindahan banjir yang dibuka di empat daerah di negeri ini. 
 

  • oleh
  • Advertisement