Anda di sini

Teo pemenang reka cipta logo DBOS

Advertisement

KUCHING: Logo Bank Pembangunan Sarawak atau DBOS secara rasminya dilancar dan diperkenal semalam disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Logo DBOS merupakan hasil dan idea anak jati Sarawak, Teo Chung Hock selepas dipilih menjadi pemenang utama Pertandingan Reka Cipta Logo DBOS sebelum ini.

Teo membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM5,000 serta sijil penyertaan daripada Abang Johari semalam sempena majlis pelancaran yang turut dihadiri Timbalan-timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Setiausaha Kerajaan Negeri juga pengerusi Lembaga Pengarah DBOS Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani di sini.

Teo, 40, ketika ditemui menyatakan rasa bangga dapat menyumbang kepada idea kepada DBOS dipercayai akan memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.

Jelasnya antara idea pertama muncul bagi dirinya adalah membawa kelainan daripada logo biasa.

“Pada kebiasaanya kalau reka cipta ada yang tampil idea sinonim dengan Sarawak iaitu bendera negeri atau Burung Kenyalang namun saya mahu kelainan di mana saya melihat kepelbagaian etnik di Sarawak yang saya terjemahkan dalam bentuk tikar mewakili perkara berkenaan,” katanya.

Teo, merupakan seorang Pastor di Kuala Lumpur selama lebih 20 tahun dan menyertai pertandingan berkenaan atas galakan abangnya.

Katanya, beliau menetap di Kuala Lumpur telah dimaklumkan abanganya di Miri mengenai pertandingan itu.

Logo dihasilkan itu dibentuk sama dengan corak kraftangan tradisional Sarawak - tikar  tenunan tangan dengan satu lapisan yang menindih lapisan lain dan  ia bertujuan untuk menunjukkan kepelbagaian rakyat Sarawak yang akan mendapat manfaat daripada institusi kewangan ini dalam pembangunan Sarawak.

Huruf ‘S’ menandakan Sarawak dan melambangkan Kenyalang yang melonjak Sarawak ke tahap lebih tinggi sementara bentuk keseluruhan adalah empat segi yang dibentuk dengan banyak tepi tajam untuk menggambarkan tujuan utama bank ini ditubuhkan.

Ia bertujuan untuk menyokong pembangunan dan kemajuan Sarawak manakala akronim ‘DBOS’ adalah dalam font yang tebal dan agresif untuk melambangkan imej bank yang efisien, cekap dan profesional.

Advertisement