Anda di sini

Diserang strok ketika cari hasil hutan

Advertisement
 Anggota bomba bersama ahli keluarga mangsa sedang mengangkat mangsa menggunakan ‘basket stretcher.’
BANTU: Anggota bomba bersama ahli keluarga mangsa sedang mengangkat mangsa menggunakan ‘basket stretcher.’

BINTULU: Seorang perempuan warga emas terkena serangan angin ahmar (strok) semasa sedang mencari hasil hutan di Kilometer 15 Jalan Bintulu-Miri lama di sini petang kelmarin.

Bagaimanapun, Sai Aji, 64, berjaya diselamat pasukan bomba yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3.55 petang kelmarin.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu terlibat dalam operasi itu terdiri daripada lapan anggota bersama sebuah jentera EMRS.

Jentera bersama anggota tiba di tempat kejadian pada jam 4.31 petang seterusnya membantu dan menyelamat mangsa berada di kawasan hutan tanah rendah sehingga operasi tamat pada jam 5.48 petang.

Laporan Komander Operasinya, PBK II Mustapha Wasli yang mengetuai kerja menyelamat memaklumkan semasa tiba di tempat kejadian pihaknya mendapati  keadaan seorang perempuan warga emas mengalami strok dalam hutan terbabit.

“Anggota kami berjaya membawa keluar mangsa dengan menggunakan ‘basket stretcher’ dan tali mengangkat mangsa,” katanya.

Seterusnya mangsa ditarik bersama ‘basket strecher’ terbabit ke kawasan tanah tinggi menuju jalan besar dan diserah kepada paramedik untuk dihantar dengan ambulans  ke Hospital Bintulu bagi mendapat rawatan segera. Beberapa ahli keluarga turut terlibat membantu mangsa di tempat kejadian.

Advertisement