Anda di sini

Angkut balak guna basikal

Advertisement
 Pegawai penguat kuasa SFC dan polis Marin bersama warga asing yang ditahan di tapak pembalakan haram di Bekakong, Daro.
TANGKAP: Pegawai penguat kuasa SFC dan polis Marin bersama warga asing yang ditahan di tapak pembalakan haram di Bekakong, Daro.

KUCHING: Basikal yang telah diubah suai untuk mengangkut kayu pendek adalah antara yang dirampas dalam kegiatan pembalakan haram yang dilakukan di Bekakong, Daro pada 1 November lalu.

Dalam operasi itu yang dijalankan bersama oleh pejabat Sarawak Forestry Corporation (SFC) Wilayah Sibu dan polis Marin, lapan warga asing turut ditangkap bersama tiga basikal yang dirampas termasuk 736 balak pendek dan satu gergaji.

“Operasi pembalakan di tapak serbuan itu dipercayai tidak sah kerana tiada lesen kayu dikeluarkan untuk pengambilan kayu di lokasi tersebut.

“Selain itu, tiada seorang pun daripada mereka yang ditahan mempunyai permit kerja,” kata SFC menerusi satu kenyataan, semalam.

Justeru, kesemua mereka yang ditahan telah dibawa ke Balai Polis Bintangor sementara menunggu siasatan lanjut oleh pihak berkuasa berkenaan.

Laporan polis mengenai serbuan juga telah dibuat di Balai Polis Tanjung Manis dan balak yang ditahan akan diserahkan kepada Jabatan Hutan untuk siasatan lanjut.

Menurut SFC, kejayaan tersebut adalah hasil perkongsian baik yang dibentuk antara SFC dan agensi penguatkuasaan lain seperti polis dalam kempen kerajaan menentang pembalakan haram.

Advertisement