Anda di sini

Usahawan arang tempurung muncul Pelatih Terbaik Pegawai Bomba Bantuan

Advertisement
 Adnan (kiri) bersama Akimi berkongsi kegembiraan setelah berjaya menamatkan latihan pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siri 2/2017  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan                 semalam. — Gambar Bernama
BERJAYA: Adnan (kiri) bersama Akimi berkongsi kegembiraan setelah berjaya menamatkan latihan pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siri 2/2017 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan semalam. — Gambar Bernama

BACHOK: Seorang usahawan memproses arang tempurung muncul Pelatih Terbaik Keseluruhan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Siri 2 2017 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan.

Lebih manis apabila Kahar Harun menjadi pelatih terbaik pada usia 48 tahun.

Minat saya yang amat mendalam dalam badan ber-uniform menyebabkan saya sanggup menghadiri pemilihan sebagai PBB walaupun sedar terpaksa bersaing dengan ribuan pemohon lain yang masih muda.

Saya sendiri tidak menjangka terpilih sebagai pelatih terbaik walaupun sudah mempunyai tiga orang anak, tetapi mungkin dengan disiplin dan motivasi yang diterapkan ketika latihan, saya berjaya membuktikannya,” katanya selepas menerima anugerah di Pusat Latihan Negeri, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Penguasa Bomba Kanan I, Anwar Abu Bakar merasmikan majlis pentauliahan berkenaan.

Kahar yang tinggal di Bandar Jeli dan akan ditempatkan di BBP Jeli berkata tidak timbul soal malu dalam dirinya walaupun sudah berusia kerana menganggap kudrat yang masih ada sepatutnya disumbangkan untuk membantu orang lain dan bukan hanya diam berpeluk tubuh.

Pasangan kembar dari Jeram Tekoh, Gua Musang, Abang Adnan Mat Hussin dan Adik Akimi Mat Hussin yang masing-masing berusia 23 tahun terpilih sebagai Pelatih Praktikal Terbaik.

Mereka berkata mereka sebelum ini pernah memohon jawatan sebagai anggota pasukan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) namun beralih kepada PBB kerana mahu berada dekat dengan keluarga.

Sementara itu Anwar berkata seramai 62 individu – 59 PBB lelaki dan tiga PBB wanita menamatkan kursus selama 10 hari dan akan ditempatkan di beberapa balai bomba termasuk di BBP Gua Musang, Machang, Jeli, Bachok, Kuala Krai, Pasir Tumboh dan Tumpat. — Bernama

Advertisement