Anda di sini

Ragut rantai kanak-kanak dengan pengetip kuku

Advertisement

Kegiatan sekumpulan empat wanita tumpas, ditahan polis

SEPANG: Polis Sepang menumpaskan sekumpulan empat wanita yang melakukan jenayah ragut barangan kemas yang dipakai kanak-kanak menggunakan pengetip kuku di sebuah pusat beli-belah di sini.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali berkata modus operandi  kumpulan berkenaan ialah mengikut kanak-kanak yang memakai barang kemas sebelum memotong rantai di leher atau di tangan kanak-kanak berkenaan hingga putus apabila ibu bapa mereka leka membeli-belah di IOI City Mall.

Penahanan keempat-empat wanita berumur antara 18 dan 47 tahun itu adalah susulan laporan seorang wanita yang diterima pada 18 Okt lalu yang mendakwa rantai emas yang dipakai anaknya berusia tiga tahun disyaki diambil orang di pusat beli-belah terbabit.

Hasil semakan pada kamera litar tertutup di tempat kejadian berjaya mengesan empat wanita yang menarik rantai emas anak pengadu.

Sebelum  itu keempat-empat mereka dilihat masuk ke kedai sebuah kosmetik,” katanya dalam sidang media di sini semalam. Kira-kira jam 12.30 pagi pada 19 Okt, katanya pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Sepang berjaya menangkap empat orang wanita di kawasan parkir kereta pusat beli-belah berkenaan dan merampas barang kes.

Dengan penahanan berkenaan, Abdul Aziz berkata polis Sepang berjaya menyelesaikan empat kes ragut barangan kemas dan satu kes curi kosmetik di kedai Body Shop yang berlaku di pusat beli-belah tersebut pada 18 Okt.

Menurutnya, keempat-empat suspek dituduh di Mahkamah Sepang baru-baru ini.

Siasatan lanjut mendapati keempat-empat mereka aktif sejak 2010 dan mempunyai enam rekod jenayah lampau melakukan kesalahan yang sama di pusat beli-belah di utara tanah air.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata mulai semalam akaun laman sosial Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang akan memaparkan gambar 30 individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan pelbagai kes termasuk curi, merusuh dan pecah rumah.

Beliau juga berkata polis Sepang turut mencari seorang lelaki warga Indonesia yang dikenali sebagai Johari berhubung kes pembunuhan warga Bangladesh yang ditetak di Kampung Datuk Abu Bakar Baginda pada 28 Okt lepas. Johari dipercayai masih berada di dalam negara. — Bernama

Advertisement