Anda di sini

EIS dilaksana Januari tahun depan

Advertisement

Tidak akan bertindih, malah merupakan tambahan kepada ETLB

 Riot (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim Pertubuhan Kebajikan Thangam Ilham ketika Sambutan Rumah Terbuka Deepavali di Bangunan Pembangunan Sumber Manusia Berhad di ibu negara semalam. Turut hadir Ismail (kiri). — Gambar Bernama
BERKONGSI KECERIAAN: Riot (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim Pertubuhan Kebajikan Thangam Ilham ketika Sambutan Rumah Terbuka Deepavali di Bangunan Pembangunan Sumber Manusia Berhad di ibu negara semalam. Turut hadir Ismail (kiri). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Beliau, bagaimanapun berkata pembayaran pertama hanya akan dibuat mulai 1 Jan, 2019.

Setakat ini, kerajaan telah menyalurkan dana kira-kira RM122 juta untuk memastikan EIS dapat dilaksanakan,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan tahunan Rumah Terbuka Deepavali anjuran Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), di sini semalam.

Lebih 500 tetamu, termasuk 20 kanak-kanak dari Pertubuhan Kebajikan Thangam Illam, diraikan pada majlis berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib dan Ketua Eksekutif HRDF Datuk CM Vignaesvaran Jeyandran.

Riot juga menjelaskan bahawa EIS tidak akan bertindih dengan skim Faedah Penamatan Kerja (ETLB) yang sedia ada, seperti didakwa pihak tertentu.

ETLB sedia ada akan diteruskan. Ini (EIS) adalah tambahan kepada ETLB.

Ini kali pertama EIS akan dilaksanakan sedangkan ETLB sudah ada sejak sekian lama. Sudah tentu, kita tidak mahu ETLB dimansuhkan, ia mesti diteruskan kerana mereka (majikan dan pekerja) telah menyumbang (dalam ETLB),” katanya.

Rang Undang-undang (RUU) EIS 2017, bertujuan membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan bantuan kewangan sementara, telah diluluskan di Dewan Rakyat dengan beberapa pindaan selepas dibahaskan oleh 14 Ahli Parlimen, minggu lepas.

Riot ketika membentang RUU itu untuk bacaan kali kedua, berkata sistem insurans berkenaan memperuntukkan caruman berkadaran 0.4 peratus  daripada gaji diinsuranskan, iaitu majikan dan pekerja masing-masing menyumbang 0.2 peratus kepada caruman insurans tersebut.

Beliau berkata ia penting bagi membantu pekerja yang hilang pekerjaan khususnya jika berlaku kegawatan atau kejatuhan ekonomi.

Bagi majikan, Riot berkata pelaksanaan sistem insurans itu dapat meningkatkan produktiviti syarikat melalui pekerja yang telah mengikuti peningkatan kemahiran dan latihan semula di samping dapat mengurangkan tekanan jika timbul keperluan mengurangkan kos, mengecilkan operasi atau dalam kes syarikat muflis. — Bernama

Advertisement