Anda di sini

Polis Sarawak terus banteras perjudian haram

Advertisement
 Polis ketika memeriksa premis yang menjual 4D tanpa lesen.
SIASAT: Polis ketika memeriksa premis yang menjual 4D tanpa lesen.

KUCHING: Polis Sarawak meneruskan tindakan agresifnya terhadap aktiviti perjudian haram dengan penangkapan 55 pengendali loteri (4D) tanpa lesen di negeri ini minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Datuk Dev Kumar dalam kenyataan semalam berkata pihaknya telah melakukan 42 serbuan sepanjang minggu lalu bermula 23 hingga 29 Oktober.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 39 serbuan membabitkan premis menjual 4D haram.

“Dalam serbuan itu, kami telah menahan 48 individu selain merampas wang tunai berjumlah RM13,835.

“Turut dirampas telefon bimbit, pencetak mudah alih, kalkulator, slip pertaruhan dan alat tulis,” katanya. 

Dev berkata, pasukan JSJ IPK Sarawak telah menjalankan 18 serbuan di Sri Aman, Padawan dan Kota Samarahan yang melibatkan kes 4D haram pada 28 Oktober lalu.

Selain operasi memerangi penjualan 4D haram, polis turut menjalankan tiga serbuan terhadap premis judi siber di Miri dan Marudi.

Dev berkata hasil serbuan itu, tujuh individu ditahan termasuk seorang lelaki yang menyediakan perkhidmatan tambah nilai kepada pemain judi siber.

Pihaknya turut merampas enam tablet, empat mesin judi dan satu telefon bimbit yang digunakan untuk perkhidmatan tambah nilai.

Beliau berkata daripada 55 yang ditangkap, 29 adalah lelaki manakala selebihnya wanita berumur antara 15 dan 53 tahun termasuk dua warga asing.

Kesemua yang ditangkap disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

  • oleh
  • Advertisement