Anda di sini

Pesawat terhempas dikeluarkan dari lokasi

Advertisement
  Kontraktor yang dilantik berusaha menaikkan bangkai pesawat ringan GT500 semalam setelah pesawat tersebut terhempas dan terbenam di Sungai Mati dekat Tangkak pada 14 Okt lalu. — Gambar Bernama
CARI: Kontraktor yang dilantik berusaha menaikkan bangkai pesawat ringan GT500 semalam setelah pesawat tersebut terhempas dan terbenam di Sungai Mati dekat Tangkak pada 14 Okt lalu. — Gambar Bernama

JASIN: Pesawat ringan jenis GT500 Microlight yang terhempas di Sungai Mati di sempadan Melaka dan Johor di sini awal bulan ini dikeluarkan dari lokasi kejadian pagi semalam.

Penyiasat Kemalangan Udara Biro Siasatan Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan, Izani Ismail berkata bangkai pesawat berkenaan dikeluarkan menggunakan jengkaut dan khidmat menyelam seorang anggota penyiasat biro berkenaan. Operasi tersebut mengambil masa hampir 45 minit bermula jam 10.30 pagi.

Beliau berkata laporan awal siasatan dijangka dikeluarkan dalam tempoh seminggu manakala laporan penuh mengambil masa setahun.

“Seterusnya proses menemu duga penumpang pesawat akan dilakukan segera bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan tamat.

Izani berkata siasatan nahas berkenaan setakat ini berjalan lancar dan beberapa saksi kejadian berkenaan termasuk pihak berkuasa antaranya anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah dipanggil bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata usia pesawat berkenaan belum dapat dipastikan dan ia perlu mengambil masa untuk dikenal pasti namun dipercayai ia bukan pesawat baharu.

Sementara itu, penyiasat biro tersebut Khairulnizam Jamaludin berkata beliau terpaksa menyelam ke dasar sungai berkenaan untuk mengikat tali yang dipasang pada jengkaut yang digunakan untuk mengeluarkan pesawat tersebut.

Beliau berkata antara cabaran yang dihadapinya dalam operasi berkenaan termasuk penglihatan terhad ekoran air di dasar sungai berkenaan keruh selain perlu berjaga-jaga kerana terdapat haiwan berbahaya termasuk ular sawa dan buaya.

Dalam pada itu, Hasan berkata operasi mengeluarkan bangkai pesawat tersebut mengambil masa kerana persediaannya yang lengkap perlu dilakukan kerana lokasi nahas berada dalam kawasan yang berbahaya.

Operasi berkenaan melibatkan kekuatan lebih 50 anggota pihak berkuasa termasuk anggota bomba, APM, Jabatan Perhilitan, Jabatan Penerbangan Awam.

Dalam kejadian 14 Okt lepas pesawat tersebut terhempas pada jarak kira-kira 200 meter dari landasan Aerodrome Sungai Rambai, Jasin di sini kira-kira jam 10.30 pagi.

Nahas itu mengorbankan juruterbang Yee Yoon Fah, 54, yang maut di tempat kejadian manakala rakannya Mohd Shahrul Shafiri, 35, yang merupakan anggota Pasukan Gerakan Am, cedera di muka serta badan dan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar. — Bernama

Advertisement