Anda di sini

OSCAR lindungi Industri Pertanian Negara daripada ancaman perosak dan penyakit

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sektor Agromakanan merupakan sektor yang penting dalam merealisasikan usaha kerajaan bagi memacu negara menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Selaras dengan itu, Jabatan Pertanian memainkan perkhidmatan teras dalam memberikan perkhidmatan regulatori dan menguat kuasa akta-akta yang menjaga keselamatan dan kualiti makanan serta melindungi Industri Pertanian Negara daripada ancaman perosak dan penyakit dari luar serta memudahkan perdagangan antarabangsa.

Jabatan memainkan peranan dalam membangun dan menyelaras penyediaan protokol pengeksportan bahan pertanian bagi memenuhi peraturan antarabangsa dan negara pengimport, meneroka dan mendapatkan laluan pasaran eksport bagi memudah cara perdagangan bahan pertanian melalui rundingan antara negara bagi melalui memenuhi keperluan sanitasi dan fitosanitasi (SPS).

 Selain daripada memainkan peranan utama dalam melindungi industri pertanian negara daripada ancaman perosak dan penyakit melalui penguatkuasaan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan Kuarantin 1981 selaras dengan peranan sebagai ‘National Plant Protection Organisation’ (NPPO) dan membangun serta menyelaras penyediaan protokol pengeksportan bahan pertanian bagi memenuhi peraturan antarabangsa dan negara pengimport.

Justeru, bagi memperkasa penyampaian perkhidmatan tersebut kepada orang ramai dan golongan sasar jabatan, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Nogeh Gumbek telah merasmikan Pusat Setempat Regulatori Pertanian atau OSCAR yang telah ditubuhkan pada tahun ini.

Pusat ini menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan regulatori pertanian seperti pengeluaran permit import komoditi tanaman, pendaftaran lesen berkenaan racun makhluk perosak seperti Lesen Pengendali Kawalan Makhluk Perosak dan Lesen Menjual/ Menyimpan Racun Makhluk Perosak untuk Dijual serta pengeluaran skim dan sijil bagi keperluan protokol pengeksportan seperti Sijil Fitosanitasi dan Skim Perakuan Pensijilan Pewasapan Malaysia (MAFAS).

Sempena perasmian OSCAR, Jabatan Pertanian juga menganjurkan Hari Bertemu Pelanggan dan Hari Terbuka Bahagian Biosekuriti Tumbuhan.

Program ini telah berjaya menarik ramai pengunjung yang terdiri daripada pengimport, pengeksport, usahawan, pemain industri dan orang rawam bagi mendapatkan maklumat perkhidmatan jabatan seperti keperluan permit import, keperluan protokol pengeksportan, akreditasi ladang dan fasiliti, diagnostik dan kawalan racun perosak serta kaunter am Bahagian Kawalan Racun Perosak.

Penubuhan OSCAR ini juga diharap dapat memudahkan orang ramai dan golongan sasar bagi mendapatkan perkhidmatan regulatori di bawah Jabatan Pertanian dengan cepat dan tepat selain turut menyediakan pusat sumber yang menghimpunkan bahan rujukan pertanian dan repositori perosak pertanian dalam bentuk buku dan media.

Advertisement