Anda di sini

MOSTI bina balai cerap pertama di Kelantan

Advertisement

KOTA BHARU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) menyemarakkan perkembangan ilmu astronomi di Kelantan dengan pembinaan balai cerap pertama di Kampung Kubang Rawa, Salor, di sini.

Ketua Pengarah ANGKASA, Dr Noordin Ahmad berkata balai cerap tersebut dilengkapi peralatan teleskop bernilai RM250,000 dan dilaksanakan menerusi projek Inovasi Sosial MOSTI (MSI) dengan kerjasama Persatuan Astronomi (Falak) Amatur Negeri Kelantan.

“Ia adalah projek ketiga di bawah MSI selepas pembinaan kemudahan sama di Balai Cerap Persatuan Sabah ‘Stargazer’ dan pembangunan Online Solar Observatory untuk masyarakat Orang Asli di Dengkil, Selangor,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan projek tersebut di sini semalam.

Hadir sama, Presiden Persatuan Falak (Amatur) Ke-lantan, Prof Dr Mahomarawi Omar.

Noordin berkata balai cerap bersaiz 800 kaki persegi itu dilengkapi empat sistem teleskop, kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) yang telah disesuaikan untuk pengimejan astrofoto, ruang pencerapan dan ruang pembelajaran.

Katanya, melalui projek itu komuniti negeri Ke-lantan terutamanya pelajar dan peminat astronomi dapat mempelajari bidang astronomi moden melalui teori dan praktikal daripada pencerapan dan bengkel yang akan dikendalikan oleh persatuan berkenaan.

Sementara itu, Mahomarawi berkata minatnya yang mendalam dalam bidang astronomi mendorong beliau membuka mini balai cerap di rumahnya di Kubang Kerian sejak 1992 sebelum berpindah ke kediaman baharunya di Kampung Kubang Rawa.

Beliau berkata selepas balai cerap mininya mendapat sambutan menggalakkan, beliau telah memohon bantuan geran MSI melalui persatuan yang ditubuhkan bagi menambahbaik kemudahan sedia ada.

Mahomarawi, yang juga pakar bius di sebuah hospital swasta itu, berkata beliau telah membelanjakan kira-kira RM500,000 untuk kelengkapan balai cerap mininya sebelum ini termasuk 20 buah teleskop.

“Dengan terbinanya balai cerap baharu ini, saya berharap usaha berkenaan akan dapat meningkatkan ke-sedaran dan pemahaman berhubung bidang astronomi, sekali gus dapat dikembangkan dengan lebih lancar  selepas ini,” katanya.

Beliau berkata balai cerap itu akan dibuka kepada orang ramai awal tahun depan susulan proses latihan 15 anggota persatuan sedang dijalankan dan kerja-kerja penambahbaikan balai tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini. — Bernama

Advertisement