Anda di sini

CFM: 3,518 aduan berkaitan masalah komunikasi, multimedia diterima

Advertisement

SHAH ALAM: Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menerima 3,518 aduan berkaitan masalah komunikasi dan multimedia di seluruh negara dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.

Timbalan pengerusinya Azizan Mohd Afandi berkata, aduan mengenai bil dan caj adalah aduan yang paling banyak diterima pihaknya sepanjang tempoh itu iaitu 1,229 aduan.

Dalam tempoh itu juga, CFM turut merekodkan aduan kualiti liputan kurang memuaskan (990), kualiti perkhidmatan kurang memuaskan (578), amalan tidak adil (189) dan promosi tidak benar iaitu 175 aduan.

Beliau berkata, kesemua aduan itu diterima menerusi pelbagai saluran iaitu portal aduan CFM, e-mel, talian hotline dan aplikasi mudah alih My Mobile Right.

“Daripada jumlah keseluruhan aduan itu juga, CFM berjaya menyelesaikan 2,463 aduan pengguna dalam tempoh kurang daripada 15 hari,” katanya selepas menghadiri program Karnival Komunikasi Massa 2017 (MCOc17) anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama CFM di sini, semalam.

“Aduan pengguna juga menunjukkan peningkatan setiap tahun dan ia menunjukkan kesedaran pengguna akan kepentingan membuat aduan secara rasmi daripada sekadar membuat rungutan dalam media sosial yang mungkin tidak memberikan impak ketara kepada perubahan perkhidmatan komunikasi dan multimedia di negara ini,” kata Azizan.

Mengulas mengenai karnival tiga hari yang bermula kelmarin itu Azizan berkata program yang turut membabitkan CFM itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar supaya memahami isu dan cabaran baharu dalam dunia komunikasi hari ini.

“Golongan pelajar merupakan satu kumpulan kuasa pengguna dan antara kumpulan yang paling ramai menggunakan perkhidmatan jaringan komunikasi dan Internet.

“Melalui program seperti ini, CFM dapat menyampaikan maklumat yang tepat kepada golongan sasaran agar mereka tahu kepentingan melaporkan aduan secara rasmi kepada agensi berkaitan,” katanya. — Bernama

Advertisement