Anda di sini

Kes samun dan cabul, penganggur ditahan

Advertisement

Suspek sasarkan wanita yang datang ke surau bersendirian, ugut mangsa guna parang

SHAH ALAM: Seorang penganggur ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya empat kes samun dan cabul wanita di beberapa surau sekitar Shah Alam dan kawasan berjiran sejak pertengahan tahun ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata lelaki berumur 39 tahun itu diberkas di rumah sewanya di Kelana Jaya, dekat sini pada 4.45 petang, 13 Okt lepas.

Suspek menyasarkan wanita yang datang ke surau secara bersendirian pada waktu tengah hari dengan mengugut mangsa menggunakan parang atau pisau sebelum mengikat, menyamun dan mencabul mangsa, katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau berkata, suspek yang memakai jubah dan menyorokkan parang atau pisau di sebalik pakaiannya turut menyasarkan sekolah agama.

Kes pertama berlaku pada jam 1.41 petang 23 Jun lepas di sebuah surau Seksyen U8, Bukit Jelutong, Shah Alam, manakala kes kedua pula di sebuah Sekolah Kelas Agama dan Fardu Ain Integrasi di Kelana Jaya pada jam 2 petang, 28 Julai lepas,” katanya.

Shafien berkata kes ketiga berlaku pada jam 3 petang, 18 Ogos lalu di surau Seksyen 4, Shah Alam dan kes keempat di Surau Al-Ikhlas, Bukit Jelutong pada 1.30 petang, 6 Okt lalu.

Semasa ditangkap, polis menemui beberapa wayar yang disyaki diguna untuk mengikat mangsa selain parang, topi serta sebahagian besar hasil samun yang termasukk telefon bimbit dan iPad.

Siasatan polis turut mendapati lelaki itu pernah berkahwin sebanyak dua kali serta mempunyai lima anak.

Polis percaya penahanan suspek telah menyelesaikan keempat-empat kes berkenaan dan kami percaya terdapat banyak lagi kes sama melibatkan suspek ini namun mangsa tidak membuat laporan polis.

Suspek direman bermula 14 Okt lepas sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan serta Seksyen 35 kanun sama kerana mencabul,” katanya. — Bernama

Advertisement