Anda di sini

Tahanan lari sebelum dihantar ke penjara

Advertisement

KUCHING: Seorang tahanan lelaki melarikan diri dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di sini ketika menunggu kenderaan untuk dihantar ke penjara, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, suspek berusia 34 tahun bersama dua tahanan lain berada di pondok keselamatan bersama anggota Cawangan Pengawal Pengiring IPD Kuching.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Abang Junaidi Abang Anuar ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, semasa anggota pengiring menunggu kenderaan tiba untuk membawa tiga Orang Kena Tangkap (OKT) dari mahkamah untuk dihantar ke penjara, salah seorang tahanan telah lari dari jagaan dengan membuka gari menuju keluar pagar IPD Kuching.

Anggota yang berada di bilik pengawal cuba mengejar suspek namun dia telah masuk ke dalam sebuah kereta berwarna putih jenis Iswara dan terus memecut ke arah jalan besar,” katanya.

Difahamkan, suspek dari Taman Puteri Fasa II, Bandar Baharu Samariang itu ditahan atas kesalahan samun di bawah Seksyen 394/395 Kanun Keseksaan.

Ketika melarikan diri suspek dilaporkan menggunakan seluar jeans berwarna biru dan baju berwarna merah (maroon).

Katanya, arahan Ops Tutup bagi mengesan suspek telah dikeluarkan kepada semua pegawai dan anggota bagi membantu operasi berkenaan.

Advertisement