Anda di sini

Pelajar perlu sedia hadapi pendidikan menuntut mereka berfikir secara kreatif

Advertisement
 Rosey (duduk, tiga kanan) dan Anuar  (duduk, dua kiri) serta pelajar menunjukkan simbol bagus pada perasmian PSIP di Miri semalam.
TERBAIK: Rosey (duduk, tiga kanan) dan Anuar (duduk, dua kiri) serta pelajar menunjukkan simbol bagus pada perasmian PSIP di Miri semalam.

MIRI: Sistem pendidikan yang sentiasa berubah dan tidak statik menyediakan pelajar ke arah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) seiring dengan perkembangan global.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak Rosey Yunus berkata KBAT menyaksikan kemahiran pelajar untuk mengaplikasi pengetahuan, kreatif, inovatif serta refleksi bagi menyelesaikan masalah.

Pelajar tidak bergantung kepada pendidikan melibatkan buku teks sebaliknya mereka memiliki KBAT yang boleh membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Bekenu itu berkata demikian pada Majlis Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP) anjuran Petronas di sini semalam.

Tambah Rosey, pelajar sekarang perlu lebih bersedia menghadapi sistem pendidikan moden yang menuntut mereka mahir berfikir secara kreatif.

Mengulas mengenai PSIP, Rosey berkata Petronas sangat konsisten dalam usaha membangunkan murid menerusi pembelajaran abad ke-21.

Ia termasuk pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang menggalakkan pelajar meneroka pengetahuan dan idea baharu.

Pembelajaran yang memberi fokus dalam bidang robotik bersama Petrosains dapat memberi pendedahan kepada pelajar terutama dalam mengaplikasi teknologi terkini,” jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) Anuar Ismail berkata PSIP telah memberi impak dan manfaat kepada lebih 16,000 pelajar di seluruh negara.

Tambahnya, pelaksanaan STEM sejajar dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia menyasarkan nisbah 60:40 untuk kemasukan dalam bidang sains, teknikal, vokasional dan seni.

Tahun ini, seramai 116 pelajar daripada empat sekolah di Sarawak telah ditaja menyertai program  PSIP.

Mereka merangkumi pelajar-pelajar dari SK Kuala Baram II, SK Bekenu, SK Sungai Tisang dan SK Bintulu,” katanya.

Program selama dua hari itu memberi manfaat kepada pelajar melalui aktiviti-aktiviti berteraskan robotik di samping pembelajaran ‘coding’ dan reka cipta.

Turut hadir Pengurus Pentadbiran Perkhidmatan PCSB Sarawak Francis Xavier, wakil Pengurus Besar Pejabat Petronas Wilayah Sarawak Rhymie Rashidie Ibrahim dan Timbalan Pegawai Pendidikan Miri Alias Ngah.

Advertisement