Anda di sini

68 individu ditahan dalam serbuan banteras judi

Advertisement
 Polis melakukan pemeriksaan terhadap premis yang menjalankan penjualan 4D tanpa lesen.
PERIKSA: Polis melakukan pemeriksaan terhadap premis yang menjalankan penjualan 4D tanpa lesen.

KUCHING: Operasi pembanterasan kegiatan judi di Sarawak terus dipergiatkan yang membawa kepada penahanan 68 individu dalam 47 serbuan yang dilakukan di 16 daerah sepanjang minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Datuk Dev Kumar dalam kenyataannya semalam berkata, serbuan dari 16 hingga 22 Oktober itu membabitkan penjualan loteri (4D) tanpa lesen dan judi siber.

Pihak polis telah menjalankan 47 serbuan terhadap premis menjual 4D tidak sah yang membawa kepada penangkapan 61 individu selain merampas wang tunai berjumah RM12,892.13.

Turut dirampas telefon bimbit, pencetak, kalkulator, slip pertaruhan dan alat tulis,” katanya.

Menurut Dev, serbuan terhadap premis penjualan 4D haram itu dilakukan di Kuching, Padawan dan Sibu.

Selain judi 4D, pihaknya turut menahan tujuh individu yang terlibat dalam perjudian siber di Lawas dan Kuching.

Kesemua suspek disyaki terlibat dengan penyediaan perkhidmatan tambah nilai untuk judi siber.

Hasil serbuan itu, kami turut merampas tujuh unit telefon bimbit dan tablet,” tambahnya.

Dev berkata daripada 68 individu yang ditahan, 41 adalah lelaki manakala 27 lagi adalah wanita yang berusia antara 16 hingga 67 tahun.

Menurtu beliau, Pusat hiburan keluarga dan kelab rekreasi yang sebelum ini mengendalikan mesin perjudian siber, ikan dan slot telah ditutup dan tidak menimbulkan ancaman lagi.

Tumpuan kami sekarang adalah untuk menghapuskan aktiviti penjualan 4D yang tidak sah,” tegas Dev.

Advertisement