Anda di sini

Pelajar sedih kematian penyelia sebelum terima anugerah

Advertisement

PUTRAJAYA: Empat pelajar Politeknik Kuching, Sarawak tidak dapat menahan sebak pada Majlis Anugerah Inovasi Pembelajaran Digital (eDOLA) 2017 apabila diumumkan sebagai pemenang, hanya enam hari selepas kematian penyelia mereka.

Wakil kumpulan itu Sarah Nabilah Abdul Rashid, 21, berkata penyelia mereka Meor Shaiful Azuan Abd Said, 37, sepatutnya turut mengikut mereka pada majlis anugerah itu yang diadakan di Dewan Serbaguna Kementerian Pengangkutan di sini malam tadi bagi menerima anugerah itu.

Bagaimanapun katanya Allahyarham meninggal dunia akibat serangan asma Sabtu lepas kira-kira dua jam selepas mereka berbincang mengenai perbelanjaan mereka untuk menghadiri majlis tersebut.

"Allahyarham sangat teruja untuk menghadiri majlis ini dan beberapa kali mengatakan kepada kami bahawa walau apa pun terjadi, kami akan terima hadiah bersama-sama.

"Allahyarham mengalami serangan asma di rumah keluarganya selepas pulang dari politeknik, menyebabkan kami agak sukar menerima kenyataan itu apabila dimaklumkan mengenai pemergiannya," katanya dengan sebak kepada pemberita pada majlis itu.
 
Kumpulan itu yang turut dianggotai Mohamad Izhar Abdullah, 27, Shetie Rahmas Abdul Rashid, 19, dan Abdillah Mazalin, 21, memenangi tempat pertama kategori video bagi kandungan e-micro sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Menurut Sarah Nabilah, kemenangan tersebut tidak akan terjadi tanpa bantuan dan tunjuk ajar Meor Shaiful Azuan yang memilih sendiri anggota kumpulan tersebut bagi menyertai pertandingan itu walaupun mereka dari kursus berbeza.

"Allahyarham sangat bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan ini kerana tahun lepas kami tidak menang dan apabila dimaklumkan kami menang, beliau sangat teruja," katanya.

Pada majlis yang dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching itu, Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak diumumkan sebagai pemenang keseluruhan sekali gus membawa pulang Anugerah Pencapaian Pembelajaran Digital Terbaik.

Anugerah eDOLA diwujudkan sejak lima tahun lepas bagi memberi peluang kepada pensyarah dan pelajar politeknik di seluruh negara untuk berkarya dan berinovasi dalam pembangunan dan penggunaan teknologi pembelajaran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) secara atas talian. - BERNAMA

Pasukan pemenang (dari kiri) Mohammad Izhar Abdullah, Sarah Nabilah Abdul Rashid, Shetie Rahmas Hamzah dan Abdillah Mazalin - Foto Bernama
Pasukan pemenang (dari kiri) Mohammad Izhar Abdullah, Sarah Nabilah Abdul Rashid, Shetie Rahmas Hamzah dan Abdillah Mazalin - Foto Bernama
Advertisement