Anda di sini

14 Disember sebutan lanjut bela diri tertuduh bunuh Bill Kayong

Advertisement
 Fitri duduk di luar kamar hakim sementara menunggu kesnya disebut lanjut semalam.
TANGGUH: Fitri duduk di luar kamar hakim sementara menunggu kesnya disebut lanjut semalam.

MIRI: Mahkamah Tinggi menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan lanjut kes mendengar keterangan bela diri tertuduh pertama, Mohamad Fitri Pauzi dituduh membunuh aktivis sosial, Bill Kayong.

Manakala tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Penetapan tarikh itu dibuat Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie setelah membenarkan permohonan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah yang dibuat di dalam kamar hakim.

Dalam permohonannya, I’zzat memohon satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes bagi mendengar keterangan bela diri Fitri sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya berhubung rayuan yang dikemukakan pihak pendakwa terhadap pembebasan tiga tertuduh lain dalam kes ini.

Fitri, 30, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Bill Kayong.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 8.20 pagi, 21 Jun 2016 di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pasaraya Emart, Jalan Kuala Baram Bypass di sini.

Pada 6 Jun lalu, Hakim Ravinthan N.Paramaguru mendapati pihak pendakwa berjaya mengemukakan kes prima facie terhadap Fitri dalam kes ini, justeru memerintahkannya supaya membela diri.

Pada tarikh sama, beliau memutuskan agar tertuduh Lie Chang Loon, Chin Wei Chung dan Datuk Stephen Lee Chee Kiang masing-masingnyatertuduh kedua, ketiga dan keempat dibebas dan dilepas d tuduhan bersubahat membunuh Bill Kayong setelah mendapati tiada bukti kukuh mengaitkan mereka dengan kesalahan didakwa.

Bagi kesalahan itu, Lie, 38, dari Taman Pin Fook; Chin, 51, dari Lorong 5 Krokop dan Datuk Stephen Lee, 45, dari Jalan Woodhouse, Tanjong Lobang di sini masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang turut memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Dalam kes itu, ketiga-tiga tertuduh dituduh bersubahat dengan seorang lagi yang masih bebas mengupah Mohamad Fitri Pauzi untuk membunuh Bill Kayong.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.

Advertisement