Anda di sini

Permulaan pengoperasian APMM Mukah 12 Oktober

Advertisement
 Mohd Taha (dua kiri) ketika menandatangani  plak rasminya operasi  APMM di perairan Mukah.
RASMI: Mohd Taha (dua kiri) ketika menandatangani plak rasminya operasi APMM di perairan Mukah.
 Aksi lincah bot APMM dalam demonstrasi mencari dan menyelamat (SAR) di hadapan jeti LKIM Mukah.
TANGKAS: Aksi lincah bot APMM dalam demonstrasi mencari dan menyelamat (SAR) di hadapan jeti LKIM Mukah.

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kini memulakan pengoperasian secara rasmi pihaknya di perairan Mukah pada 12 Oktober lalu.

Sebagaimana diketahui, APMM Mukah kini berkongsi jeti atau pelabuhan dengan pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Walaupun begitu, kita berharap ia tidak mengekang mana-mana pihak dan menurunkan kualiti operasi atau tugas mana-mana pihak.

Bahkan, melalui perkongsian berkenaan diharapkan tugas masing-masing dilihat lebih akrab dan efisien dari satu aspek.

Dari pihak APMM, mempunyai pangkalan sendiri juga adalah merupakan satu kelebihan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Dato’ Mohd Taha Ibrahim pada majlis perasmian pada 12 Oktober lalu menyatakan hasrat pihaknya untuk mempunyai pangkalan sendiri di Mukah.

Walaupun kini APMM mempunyai beberapa pangkalan termasuk Kuching, Tanjung Manis, Bintulu dan Miri, Mukah relevan untuk diwujudkan pangkalan untuk meningkatkan lagi kelancaran operasi serta tugas perairan dan carilamat.

Di samping itu, statistik aktiviti negatif melibatkan perairan di bahagian Mukah turut antara faktor permulaan operasi APMM di bahagian perairan ini.

Semenjak 2009 sehingga 2017 (pembukaan Daerah Maritim Bintulu), sebanyak 70 tangkapan telah dilakukan iaitu 69 tangkapan melibatkan 27 kapal Vietnam dan Thailand serta satu tangkapan melibatkan Ordinan Perkapalan Malaysia (MSO),” kata Mohd Taha.

Jadi, permulaan pengoperasian ini akan turut melindungi komuniti maritim

di perairan bahagian Mukah daripada anasir-anasir luar berkenaan.

Kekayaan yang ada pada perairan Mukah milik mutlak negeri Sarawak ini tidak harus tertumpah atau lolos kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Sebenarnya bukan hanya Mukah, tetapi harus dilihat juga seluas perairan seluruh negeri ini yang harus digalas sepenuhnya oleh APMM.

Merujuk kembali kepada permulaan pengoperasian APMM Mukah, ia tidak begitu membebankan berbanding menggerakkan aset-aset dan kemudahan sedia ada dari pangkalan terdekat.

Mohd Taha menjelaskan kini aset sudah ditempatkan di perairan Mukah berbanding sebelum ini terpaksa digerakkan dari pangkalan terdekat iaitu Tanjung Manis atau Bintulu jika ada melibatkan pengoperasian, carilamat dan sebagainya.

Kini, keselamatan perairan Mukah bakal lebih terjamin dengan permulaan pengoperasian ini yang diselia dan berkongsi aset dengan Daerah Maritim Bintulu.

Dalam pada itu, APMM turut menguar-uarkan untuk lebih mendekati komuniti maritim setempat untuk beberapa tujuan utama.

Antaranya selain memperkenalkan agensi berkenaan serta peranannya, ia juga bagi menjalin kerjasama bagi membanteras aktiviti tidak sihat di sepanjang perairan.

Perkongsian maklumat adalah satu kemenangan bagi kedua-dua pihak jika ingin membanteras kegiatan menarah kekayaan dan kemewahan laut oleh pihak tidak sepatutnya.

Tidak dapat dinyatakan sama ada lambat atau cepat, namun tindakan diambil setelah ini seharusnya membuahkan hasil positif.

Tambahan, mana-mana perairan ketika ini boleh menjadi berbahaya sekelip mata dengan kehadiran lanun-lanun yang sedia mengambil alih kapal-kapal.

Kita tidak berharap perairan ini berpotensi untuk dirompak oleh lanun, namun tidak terlambat untuk memastikan ianya dibanteras.

Turut hadir ketika majlis perasmian pengoperasian berkenaan adalah Pengarah Maritim Wilayah Sarawak Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit, Timbalan Residen Mukah Jack Aman Luat, Pengarah Maritim Daerah Bintulu Kapten Maritim Aminuddin Abdul Rashid dan Pegawai Daerah Mukah Safrie Saili.

__alt__
  • oleh
  • Advertisement