Anda di sini

Komuniti Penan akan maju jika tidak amal cara nomad, kata Dennis

Advertisement
 Dennis, Satok (di sebelah kanan Dennis) bersama ahli Majlis Gereja BEM Long Kawi semasa lawatan ke Long Kawi baru-baru ini.
LAWATAN: Dennis, Satok (di sebelah kanan Dennis) bersama ahli Majlis Gereja BEM Long Kawi semasa lawatan ke Long Kawi baru-baru ini.

MIRI: Lebih banyak pembangunan akan dinikmati oleh masyarakat Penan sekiranya mereka memilih untuk menetap di suatu tempat, sebaliknya akan terus ketinggalan jika terus berpindah-randah (nomad) seperti nenek moyang mereka dahulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, semua masyarakat khususnya di Telang Usan sama ada minoriti atau majaoriti kini telah mengalami perubahan pembangunan  yang begitu ketara.

“Ini termasuk kaum Penan yang semakin ramai sudah memilih hidup secara tetap di sesuatu tempat. Misalnya, penduduk di Long Kawi membuktikan kaum Penan mampu menikmati pembangunan dan menerima perubahan dengan tidak mengamalkan gaya hidup berpindah-randah.

“Di Long Kawi, penduduknya dapat memulakan kehidupan berkeluarga lebih baik, bercucuk tanam selain akses dengan pelbagai kemudahan disediakan kerajaan seperti sekolah selain dapat dihubungi dengan mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja ke Long Kawi, kira-kira enam jam perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Miri, baru-baru ini.

Beliau menambah, langkah kaum Penan menetap di suatu tempat memudahkan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyalur bantuan seperti pemeriksaan kesihatan, pendaftaran kelahiran oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selain pendidikan melalui program ‘outreach’ yang dianjurkan.

Dennis menambah, antara faktor menyumbang terhadap pembangunan ialah kepercayaan dengan Tuhan, yang menjadi tunjang kepada perubahan seluruh masyarakat.

Dennis gembira kerana semua penempatan Penan mengutamakan agama dalam kehidupan seharian yang mana hampir setiap kampung mempunyai bangunan gereja yang didirikan hasil gotong-royong.

“Sebagai contoh di Long Kawi, walaupun penduduknya tidak mempunyai sumber pendapatan tetap namun mereka mampu membina gereja yang cantik untuk kegunaan semua penduduk,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada syarikat pembalakan yang memainkan peranan penting membawa pembangunan di kawasan itu.

Terdahulu Ketua Kampung Long Kawi Satok Lawai dalam ucapan alu-aluannya berjanji untuk mencontohi semangat berusaha bersungguh-sungguh seperti kaum lain di kawasan berhampiran khususnya kaum Kayan untuk mencapai pembangunan.

“Kami juga akan menjadikan pendidikan sebagai keutamaan untuk membawa perubahan dalam hidup mayarakat Penan di sini,” katanya.

Advertisement