Anda di sini

Ketegangan cengkam Kirkuk

Advertisement
 Karim (kanan) bercakap kepada penduduk ketika melawat kawasan kejiranan Shorja di utara Kirkuk, kelmarin. — Gambar AFP
JANGAN MENGALAH: Karim (kanan) bercakap kepada penduduk ketika melawat kawasan kejiranan Shorja di utara Kirkuk, kelmarin. — Gambar AFP

SULAIMANIYAH: Presiden Iraq dan Kurdistan Iraq mengadakan rundingan semalam untuk meleraikan krisis yang memuncak, selepas tarikh akhir pengunduran tentera Kurdis dari lokasi dipertikai dilanjutkan 24 jam lagi.

Ribuan tentera Iraq terperangkap dalam pertikaian bersenjata dengan pejuang ‘peshmerga’ Kurdis di wilayah kaya minyak Kirkuk, di sebalik ketegangan memuncak susulan referendum kemerdekaan bulan lepas oleh Kurdis Iraq.

Krisis membangkitkan kebimbangan kekacauan baharu di Iraq tatkala tentera hampir mengusir kumpulan pelampau Islamic State (IS) dari wilayah terakhir yang dikawalnya di negara itu.

Tentera Kurdis yang merupakan sekutu utama kempen disokong Amerika Syarikat (AS) untuk membanteras IS, enggan menyerahkan kedudukan yang dikuasai semasa pertempuran menentang IS sejak tiga tahun lalu.

Pihak berkuasa pusat menuntut tentera Kurdis berundur dari kawasan dipertikai malam kelmarin tetapi tarikh akhir dilanjutkan sehari susulan rundingan.

Presiden Iraq Fuad Masum, juga orang Kurdis, bertemu semalam dengan pemimpin Kurdis Iraq Massud Barzani di Dukan dalam wilayah Sulaimaniyah, menurut pegawai.

Tentera ‘peshmerga’ berpangkalan di Kirkuk kebanyakannya setiap kepada parti Masum Kesatuan Patriotik Kurdistan (PUK), pesaing parti Barzani Parti Demokratik Kurdistan (KDP).

Wakil kedua-dua parti juga terlibat dalam rundingan tersebut.

Tentera Iraq dan ‘peshmerga’ dapat dilihat awal semalam masih tegang dalam kedudukan masing-masing di pinggir Kirkuk, meskipun tiada petanda pergerakan anggota.

Selain tentera persekutuan bersenjata berat, anggota militia Syiah disokong Iran Hashed al-Shaabi (Mobilisasi Popular), juga telah berkumpul di sekitar Kirkuk.

Orang awam Kurdis bersenjata juga dilihat berkumpul di Kirkuk malam kelmarin dan gabenornya Najim al-Din Karim, orang Kurdis yang dipecat Baghdad tetapi enggan melepaskan jawatannya, memberi amaran: “Penduduk akan membantu ‘peshmerga’, kami tidak akan membenarkan mana-mana tentera untuk memasuki bandar kami.”

Kirkuk, yang sudah lama dituntut orang Kurdis sebagai sebahagian wilayah bersenjata mereka, menjadi lokasi pertikaian utama.

Pengundian referendum pada 25 September lalu, di sebalik tentangan antarabangsa dan Iraq, diadakan bukan hanya di tiga wilayah dalam negeri autonomi Kurdistan malah juga di kawasan berhampiran yang dikuasainya termasuk Kirkuk, yang dituntut masing-masing oleh Baghdad dan Kurdistan.

Orang Kurdis mengawal bandar Kirkuk dan tiga medan minyak utama di wilayah itu yang menjana 250,000 tong sehari, meliputi 40 peratus eksport minyak Kurdistan.

Washington telah menempatkan penasihat tentera di kedua-dua pihak dan Setiausaha Pertahanan Jim Mattis berkata pada Jumaat lalu bahawa Amerika Syarikat (AS) berusaha mengurangkan ketegangan.

“Semua pihak harus fokus kepada usaha mengalahkan ISIS, kita tidak boleh berbalah sesama sendiri sekarang,” katanya menggunakan akronim alternatif untuk IS.

Seorang pegawai Kurdis berkata semalam bahawa Iran meneruskan ancamannya untuk menutup sempadan dengan Kurdistan.

Shakhwan Abu Bakr, ketua kastam di pos sempadan Bashmaq, menyatakan sempadan telah ditutup kepada semua di pos beliau dan dua pos lain yang merentasi Iran.

Setakat ini belum ada pengesahan segera mengenai langkah tersebut daripada Tehran. — AFP

Advertisement